Tuesday, August 30, 2011

Laksana Puasa Wajib Dahulu

Tidaklah hampir kepadaku seorang hambaku dengan apa juga pun, maka yang lebih aku sukai adalah mereka melaksanakan amalan wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya. - Hadis riwayat Al-Bukhari

PENDAPAT pertama yang membolehkan digabungkan niat puasa ganti dan puasa sunat dipegang oleh Imam Ibnu Hajar Al-Haitami dalam fatwanya menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib.

Katanya: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Al-Fatwa Al-Kubra).

Pendapat ini juga disokong sebilangan fuqaha mazhab Syafie seperti Imam Khatib Asy-Syarbini cuma dihukumkan makruh. Katanya: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadan, sunat menggantikan secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qada Ramadan melakukan puasa sunat.” (Mughni Al-Muhtaj).

Saturday, August 27, 2011

Istiqamah Dituntut Dalam Islam

Kerja sukar bertambah mudah jika sering dilakukan



PEPATAH Melayu ada menyebut, 'sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit' dan 'alah bisa tegal biasa'. Kedua-dua pepatah ini merujuk kepada melakukan sesuatu yang besar bermula dengan yang kecil secara berterusan dan apabila sudah biasa melakukannya, tiada terasa kesukarannya lagi.

Pepatah ini sangat dalam maknanya dan boleh membawa natijah besar jika dijadikan resam kehidupan.

Sebagai contoh seorang wanita usia 40-an berjalan dengan perlahan dan bertongkat setiap pagi menuju ke pejabat. Walaupun nampak agak sukar atau barangkali sakit, wanita itu terus melakukan rutinnya setiap pagi. Berbekalkan kekuatan semangat dan konsisten dia melakukannya akhirnya dia boleh berjalan menaiki dan menuruni bukit tanpa lagi bertongkat. Malah langkahnya juga semakin laju.

Banyak lagi contoh kejayaan yang bermula dengan kesusahan dan terhasil daripada usaha sedikit demi sedikit secara berterusan tanpa jemu sama ada dalam bidang pendidikan, perniagaan, politik dan sebagainya. Semua itu perlu dijadikan teladan.

Bait syair Arab yang bermaksud: “Tirulah walaupun jika engkau tidak dapat menjadi sepertinya, kerana meniru kemuliaan atau kebaikan itu suatu kejayaan.”

Wednesday, August 24, 2011

Iktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan

SEMPENA 10 hari terakhir Ramadan dikemukakan dalam isu ini berkaitan iktikaf. Ia berdasarkan kitab al-Fiqh al-Manhaji. Iktikaf dari segi bahasa adalah tetap dan tenteram dengan sesuatu. Menurut syarak pula bermaksud berada di dalam masjid dengan niat tertentu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid (al-Baqarah: 187).

Sementara hadis pula, daripada Aisyah bermaksud: Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari yang akhir bulan Ramadan, kemudian diikuti pula oleh para isteri baginda (riwayat al-Bukhari (1922) dan Muslim (1172).

Iktikaf adalah syariat yang telah lama dikenali sebelum Islam. Ini berdasarkan firman Allah SWT: Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah dan Masjidil Haram dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud (al-Baqarah ayat 125).

Sunday, August 21, 2011

Kelebihan baca al-Quran bantu Muslim di akhirat

Menurut Syeikh Mutawalli asy-Sya’rawi, seorang Muslim membaca al-Quran untuk dua tujuan. Pertama keperluan akal dan kedua, keperluan hati. Ketika seseorang hamba membaca al-Quran diniatkan untuk keperluan jiwa, akan mendapat empat perkara:

Pertama, Ketenteraman hati. Allah SWT berfirman dalam surah ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “Kalangan orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”

Kedua, menambah Iman. Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 2 yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang beriman itu hanya mereka yang apabila disebut Allah gementar hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya, bertambah iman mereka dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.”

Ketiga, menambah khusyuk dan ketakutan kepada Allah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hasyr ayat 21 yang bermaksud: “Kalaulah sekiranya Kami turunkan al-Quran ini atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung berkenaan tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah SWT.”

Keempat, menangis. Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 109 yang bermaksud: “Dan mereka segera menundukkan mukanya dengan sujud itu sambil menangis, sedangkan al-Quran menambahkan mereka khusyuk.”

Friday, August 19, 2011

Dahsyatnya Murka Allah

ALLAH SWT menyebut tentang api neraka yang menyala-nyala disediakan khas untuk orang kafir dengan menyifatkan neraka itu dengan gambaran yang terlalu takut kepadanya, sehinggakan kanak-kanak menjadi beruban.

Seterusnya Allah meneruskan khabar-Nya dengan menakut-nakutkan dan mengancam mereka bahawa mereka tidak akan selamat daripada seksaan yang menimpa mereka di dunia sebagaimana yang telah menimpa orang yang mendustakan para rasul sebelum mereka.

Contoh seksaan: Bumi yang bergoncang kuat, ribut taufan yang membinasakan tanaman dan ternakan, sehinggakan tidak ada lagi orang yang tertinggal dan menyalakan api. Kemudian, Allah SWT memberikan pelbagai contoh ujian dan cubaan yang telah menimpa umat sebelum mereka kepada mereka.

Kaum Thamud dibinasakan dengan panahan petir yang memusnahkan mereka. Kaum Ad dibinasakan dengan angin yang amat sejuk dan kencang yang dikenakan kepada mereka selama tujuh malam dan lapan hari secara terus menerus.

Firaun dan kaumnya pula dibinasakan dengan cara ditenggelamkan ke Laut Merah. Seterusnya Allah SWT menarik perhatian mereka ke arah kudrat-Nya yang memaksa dan kurniaan-Nya yang besar terhadap sekelian hamba-Nya.

Wednesday, August 17, 2011

Sheikh Abdul Basit qari tersohor


Sheikh Abdul Basit Abdul Samad

TOKOH seni lagu Quran ini memang terkenal di seantero dunia Islam. Beliau amat berpengaruh di kalangan pembaca al-Quran era selepasnya. Rakaman 30 juzuk al-Quran masih lagi dialunkan. Individu yang dimaksudkan ialah Sheikh Abdul Basit Abdul Samad.

Anak kelahiran Mesir pada tahun 1927 mendapat pendidikan al-Quran dan berjaya menghafalnya pada usia 10 tahun melalui gurunya Sheikh Amer.

Bakat dan kepintaran Sheikh Abdul Basit menarik perhatian Sheikh Amer. Dalam sesi pengajarannya, Sheikh Amer amat mengambil berat tentang makhraj huruf, waqf ibtida dan alunan suara yang bersesuaian dengan ayat. Mengikut firasatnya, Sheikh Abdul Basit mempunyai masa depan yang gemilang bersama al-Quran.

Bagi melengkapkan lagi ilmu al-Quran, Sheikh Abdul Basit mengikuti kelas tajwid, qiraat dan ulum al-Quran daripada Sheikh Muhammad Salem Hamadah.



Semasa talaqqi qiraat, beliau telah menghafaz Matn Syatibiyyah. Hobinya membaca al-Quran secara tarannum di sepanjang hari telah menjadikan beliau terkenal di kampungnya.

Saturday, August 13, 2011

Adab Membaca Al-Quran

Firman Allah yang bermaksud: Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW). (al-Maidah: 83)

Lihatlah sifat dan ciri para sahabat apabila turun al-Quran kepada mereka, ada yang menangis, ada yang gementar, sungguh hebat cinta mereka terhadap al-Quran.

Apa yang dimaksudkan dengan tadabbur? Maksud tadabbur adalah: Adalah renungan yang cermat, dan percermatan ayat-ayat al-Quran untuk dapat memahami makna, hikmah, ataupun maksudnya.

Asma' binti Abu Bakar memberitahu kita bagaimana orang dahulu terhadap bacaan al-Quran yang bermaksud: Dahulu para sahabat apabila dibacakan kepada mereka al-Quran, maka air mata mereka meleleh dan kulit mereka bergetar, sebagaimana Allah telah menjelaskan sifat mereka. (Tafsir Al Qurthubi).

Pesta ibadat di Masjidil Haram Sepanjang Ramadhan

ANTARA nikmat yang paling besar bagi umat Islam adalah peluang atau kesempatan berada pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Ia juga digelar Syahrul Quran kerana di dalamnya diturunkan al-Quran pada 17 Ramadan.

Tiada lafaz yang lebih bermakna selain alhamdulillah sebagai tanda bersyukur yang amat sangat ke hadrat ilahi yang memanjangkan usia kita sehingga dapat sekali lagi bertemu bulan Ramadhan.

Antara perkara sunat yang semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada Ramadan adalah mengerjakan umrah. Manakan tidak, ganjaran pahala yang begitu besar menjadi tarikan kepada mereka yang berkemampuan.

Ia sebagai mana sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya: Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji. (riwayat Bukhari)

Rugi Lepas Peluang Beramal Bulan Ramadhan

RAMADAN yang datang mengunjungi setiap tahun benar-benar terkesan apabila dapat memperbaharui semula iman dalam jiwa yang telah pudar dimamah detik selama sebelas bulan. Kemanisan iman semakin terasa apabila ibadat puasa dilakukan dengan penuh keikhlasan serta kesungguhan.

Hasil kesungguhan inilah akan dapat menghapuskan dosa kesalahan kita yang lalu. Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan serta kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Ibadat puasa dilakukan dengan sempurna akan melahirkan kegembiraan, kekuatan dan seterusnya membina roh serta jiwa kuat dan jitu. Sabda Rasul SAW bermaksud: “Orang berpuasa akan menikmati dua kegembiraan, iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu tuhannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan serta kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu. - Riwayat Bukhari

Thursday, August 11, 2011

Amalan Sunat vs Fardu Dalam Ramadhan

Dalam Islam amalan wajib harus lebih didahulukan daripada amalan sunnah. - Gambar hiasan

BULAN Ramadan adalah musim menuai keuntungan. Begitu banyak hadiah dan ganjaran yang Allah tawarkan khusus pada bulan ini. Kata seorang sarjana Islam abad ke-8 Ibnu Rajab al-Hanbali: "Barang siapa yang pada bulan Ramadan ini tidak beruntung, maka bila lagi dia akan beruntung? Barang siapa yang pada bulan suci ini tidak dapat mendekatkan dirinya kepada Allah, maka sungguh dia sangat rugi."

Antara amalan-amalan sunnah yang banyak Nabi lakukan pada bulan Ramadan termasuklah memperbanyakkan bacaan al-Quran, bersedekah, menghidupkan malam dengan solat terawih, menjamu orang berbuka puasa dan beberapa amalan lain yang disebutkan dalam hadis-hadis yang sahih.

Namun, dalam ghairah umat Islam mengerjakan amalan sunat, ada juga yang memandang sepi amalan-amalan wajib. Kadang-kala dek kerana ghairah bersedekah di masjid atau di surau, ada juga yang terlepas pandang kepada sedekah yang wajib kepada isteri, anak-anak dan kedua orang tua.

Dalam Islam amalan wajib harus lebih didahulukan daripada amalan sunnah. Ibnu Taimiyah rahimahullah mengatakan, "Wajib mendekatkan diri pada Allah dengan melakukan hal-hal wajib sebelum yang sunnah. Mendekatkan diri pada Allah dengan perkara yang sunnah bisalah dianggap sebagai ibadah jika yang wajib dilakukan." (Majmu'ul Fatawa 17/133)

Tuesday, August 9, 2011

Bersedekah Walau Sebiji Kurma

Oleh RAMLI ABDUL HALIM

SEMUA orang tahu sedekah itu besar pahalanya, malah sedekah boleh menjadi pendinding kita daripada api neraka. Walaupun bersedekah boleh dibuat pada bila-bila masa namun sepanjang bulan Ramadan, kecenderungan dan keghairahan bersedekah lebih tinggi.

Rasulullah SAW menggalakkan umat baginda bersedekah walaupun hanya dalam bentuk cuma sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari 'Adi bin Hatim r.a. kata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera). (Hadis nombor 972 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Satu lagi hadis baginda bermaksud: Dari 'Adi bin Hatim r.a. kata: Bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita mengenai mereka, lalu baginda berlindung kepada Allah daripadanya, dan memalingkan mukanya tidak kali. Kemudian baginda bersabda, Peliharalah dirimu daripada api neraka, walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma. Jika kamu tidak sanggup, maka dengan tutur kata yang baik. (Hadis nombor 973 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)

Sunday, August 7, 2011

Ramadan: Tingkatkan Ibadah dan Sedekah

DARIPADA Ibnu Abbas, katanya: “Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada Ramadan ketika Baginda didatangi Jibril setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda.

Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ramadan adalah kesempatan berharga untuk melipatgandakan amal kebaikan kerana satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi dan menjadi rahsia antara seorang hamba dengan Tuhannya.

Segala kelebihan pada Ramadan bukan bermakna seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadatnya ketika Ramadan saja tetapi hendaklah dijadikan sebagai perangsang memulakan satu titik perubahan ke arah lebih baik.

Saturday, August 6, 2011

Hayati maksud sebenar tadarus

BULAN Ramadan merupakan bulan diturunkan al-Quran, maka marilah kita sama-sama menginsafi diri dengan membaca al-Quran. Inilah yang dilakukan oleh salaf al-soleh dan Rasulullah SAW sendiri. Persoalan di sini ialah apakah maksud tadarus itu? Adakah hanya membaca atau melihat terjemahan atau bagaimana?

Jika sekiranya dikehendaki dengan membaca, sudah tentu disebut dengan qiraah yang bermaksud bacaan. Justeru maksud tadarus lebih kepada saling semak menyemak dan mempelajari serta mengkaji yang menatijahkan penghayatan dan amalan mengikut hak al-Quran diturunkan.

Seperti kata al-Syahid Hasan al-Banna berkenaan dengan hak al-Quran dalam bukunya Majmu' Rasail: "Saya tidak pernah melihat sesuatu yang kelihatan seolah-olah dijaga rapi tetapi sebenarnya disia-siakan atau seolah-olah dipelihara tetapi sebenarnya diabaikan seperti mana yang berlaku pada al-Quran sebagai sebuah kitab yang lengkap, suatu sistem yang bersepadu dan menjadi tunjang kepada segala urusan agama dan dunia."

Allah SWT berfirman dalam surah al-Fussilat ayat 42 yang bermaksud: Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya, ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.

Thursday, August 4, 2011

Puasa Tingkatkan Kualiti Kekuatan Jiwa

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan atas orang yang dulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ibadat puasa pada Ramadan disebut di dalam al-Quran sebagai wahana yang membina insan yang bertakwa kepada Allah.

Menurut perspektif al-Quran, takwa yang dimaksudkan tidak hanya lahir dalam bentuk ketundukan individu yang bersifat vertikal, malah ia juga turut mencakupi kehidupan sosial sesama umat manusia di bumi Allah yang terbentang luas ini. Ini kerana Ramadan adalah bulan yang terhimpun padanya kebajikan, nur dan hidayah yang melimpah ruah seluas samudera raya.

Melalui ibadat puasa ini juga, Allah menguji makhluk-Nya untuk mengosongkan isi perutnya dan memimpin nafsunya ke arah darjat kesucian dan fitrah.

Dalam hal ini, Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Tafsir Mafatih al-Ghaib menyatakan bahawa Allah telah melimpahkan keistimewaan Ramadan dengan menurunkan al-Quran padanya. Oleh sebab itu, Allah mengkhususkan dengan satu ibadat yang sangat besar nilainya iaitu ibadat puasa.

Wednesday, August 3, 2011

Puasa Tanpa Solat

DALAM kehidupan ini, setiap apa yang kita laksanakan perlu dilakukan secara sempurna. Allah SWT dan rasul-Nya tidak suka kepada individu yang melakukan sesuatu kerja dengan tidak bersungguh-sungguh dan sambil lewa kerana ia tidak boleh mendatangkan hasil yang baik. Sesuatu kerja yang tidak lengkap dan sempurna pastinya mempunyai nilai yang rendah di mata masyarakat.

Sebagai manusia yang telah dikurniakan Allah dengan Islam, kita mestilah melaksanakan Islam dengan sempurna. Kegagalan berbuat demikian tentunya akan dianggap sebagai tidak menghargai pemberian nikmat beragama sebagai nikmat terbesar dan ternilai dalam kehidupan kita.

Islam seumpama sebuah rumah yang lengkap dan sempurna. Kita diperintahkan untuk membina rumah yang lengkap tersebut mengikut spesifikasi dan reka bentuk yang telah ditetapkan oleh Allah.

Islam yang tidak lengkap adalah seumpama sebuah rumah tanpa dinding atau bumbung. Walaupun ia adalah rumah, namun tidak dapat dimanfaatkan dek kerana belum sempurna. Bahkan, dengan ketidaksempurnaan itu, ia langsung tidak dapat diiktiraf sebagai rumah!