Sunday, August 7, 2011

Ramadan: Tingkatkan Ibadah dan Sedekah

DARIPADA Ibnu Abbas, katanya: “Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada Ramadan ketika Baginda didatangi Jibril setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda.

Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ramadan adalah kesempatan berharga untuk melipatgandakan amal kebaikan kerana satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi dan menjadi rahsia antara seorang hamba dengan Tuhannya.

Segala kelebihan pada Ramadan bukan bermakna seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadatnya ketika Ramadan saja tetapi hendaklah dijadikan sebagai perangsang memulakan satu titik perubahan ke arah lebih baik.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sekiranya umatku mengetahui kebaikan yang ada dalam Ramadan nescaya mereka akan menginginkan supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan.”

Baginda SAW bersabda lagi yang bermaksud: “Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada Ramadan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba melakukan kebajikan sepanjang Ramadan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan atas setiap satu kebajikan amat besar di sisi Allah pada hari akhirat kelak.
Bersedekah bukan hanya memberikan wang tetapi termasuk mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang yang berpuasa.

Konsep ‘memberi’ (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan saja selama Ramadan bahkan pada bulan lain juga kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh baik pada peribadi dan masyarakat, akan dapat menghakis sifat kedekut di samping mempereratkan ikatan kemesraan tanpa mengira taraf serta kedudukan seseorang itu.

Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah ikhlas, bukan untuk menunjuk-nunjuk.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Sumber Artikel: BHarian

No comments:

Post a Comment