Sunday, August 21, 2011

Kelebihan baca al-Quran bantu Muslim di akhirat

Menurut Syeikh Mutawalli asy-Sya’rawi, seorang Muslim membaca al-Quran untuk dua tujuan. Pertama keperluan akal dan kedua, keperluan hati. Ketika seseorang hamba membaca al-Quran diniatkan untuk keperluan jiwa, akan mendapat empat perkara:

Pertama, Ketenteraman hati. Allah SWT berfirman dalam surah ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “Kalangan orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”

Kedua, menambah Iman. Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 2 yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang beriman itu hanya mereka yang apabila disebut Allah gementar hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya, bertambah iman mereka dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.”

Ketiga, menambah khusyuk dan ketakutan kepada Allah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hasyr ayat 21 yang bermaksud: “Kalaulah sekiranya Kami turunkan al-Quran ini atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung berkenaan tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah SWT.”

Keempat, menangis. Allah SWT berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 109 yang bermaksud: “Dan mereka segera menundukkan mukanya dengan sujud itu sambil menangis, sedangkan al-Quran menambahkan mereka khusyuk.”


Sekiranya kita tidak tahu membaca al-Quran, maka pelajarilah. Ajak anak dan isteri belajar al-Quran. Sebuah hadis mengenai kelebihan belajar al-Quran daripada Abu Umamah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Belajarlah kamu al-Quran, maka kelak pada Hari Kiamat akan datang pada ahlinya ketika sangat berhajat kepadanya.

Lalu ia datang dalam bentuk yang seindah-indahnya, lalu bertanya: “Kenalkah engkau kepadaku? Ahli Quran menjawab: Siapakah engkau? Jawabnya: Akulah yang kamu cinta dan kamu sanjung. Bahkan kamu sudah bangun malam untukku dan biasa membacaku pada siang hari.

“Lalu ia berkata: Kemungkinan kau al-Quran. Kemudian ia membawa orangnya menghadap Allah, lalu diberi kerajaan di tangan kanan, kekal di tangan kiri dan dipakaikan mahkota di atas kepalanya serta kedua orang tuanya yang Muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walaupun berlipat kali ganda sehingga keduanya bertanya: Dari manakah kami mendapat ini, padahal amal kami tidak sampai ke sini? Lalu dijawab: Ini kamu dapat kerana anakmu telah mempelajari al-Quran, maka kamu berdua diberi ini.

Sumber: BHarian

No comments:

Post a Comment