Monday, March 28, 2011

MOHON DERMA IKHLAS UNTUK MEMBELI KANVAS KANOPI


Tuan / Puan yang dihormati sekalian.

Adalah dimaklumkan kanvas kedua-dua Kanopi untuk majlis-majlis orang ramai ( sama ada untuk aktiviti KRT atau Surau Al-mukhlisin, TJI) telah pun usang dan koyak.  Kanvas kanopi tersebut telah digunakan dan berjasa kepada penduduk Taman Temerloh Jaya Indah selama 5 tahun.

Oleh itu pihak AJK KRT dan AJK Surau TJI memohon jasa baik pihak tuan untuk menghulurkan derma bagi membeli 2 keping kanvas kanopi yang baru. Derma ikhlas pihak tuan adalah diharapkan untuk memastikan program kemasyarakatan yang melibatkan KRT dan Surau Al-mukhlisin dapat dijalankan).   

Untuk makluman, setiap keping kanvas berharga RM700.00.

Kepada yang berhajat untuk menderma masukkan derma anda ke Akaun Bank Islam:

No. Akaun BIMB: 0602-801-0048-136

Segala kesudian anda untuk membantu, kami dahului dengan ucapan terima kasih. Allah sahaja yang dapat memberikan ganjaran yang sebaiknya terhadap jasa baik tuan.

Sekian, Terima Kasih.

Friday, March 25, 2011

Di Sebalik Bencana



DUNIA kini berubah dengan begitu cepat sekali. Perubahan itu kadang-kadang mengejutkan kita dengan berbagai kejadian dan peristiwa yang menyangkut manusia sesama manusia dan manusia dengan alam semesta.

Umat manusia di era mutakhir ini dikejutkan dengan peristiwa dahsyat seperti bencana tsunami di Aceh, kemudian di New Zealand dan kini gempa bumi dan tsunami di Jepun yang mengorbankan banyak nyawa, harta benda dan alam sekitarnya.

Selain gempa bumi dan tsunami, bentuk-bentuk bencana alam memang banyak terjadi seperti tanah jerlus, banjir, gunung meletus, kebakaran hutan dan lain sebagainya. Bencana ini datang silih berganti dari satu daerah, wilayah, negeri dan ke negeri lainnya.

Tuesday, March 22, 2011

Sopan Berbicara Cermin Umat Islam Penyayang

Oleh Mohd Adid Ab Rahman

ISLAM mementingkan akhlak terpuji dalam pergaulan bagi memastikan terhasil kedamaian dan keselesaan hidup. Berkomunikasi sesama kita perlu menggunakan kata yang baik, ucapan sopan dan lemah-lembut untuk menggembirakan, memberi manfaat dan mengeratkan hubungan.

Andai kata ucapan dihamburkan mengikut bisikan nafsu tidak terkawal, ia mengakibatkan perasaan orang lain terluka, terjadinya pergaduhan dan sudah tentu tidak disukai masyarakat. Pepatah Melayu mengungkapkan: “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”

Islam turut memberi panduan bagi menghasilkan komunikasi yang berkesan seterusnya mampu mengeratkan ikatan silaturahim antaranya bercakap benar dan baik kerana ucapan melambangkan jiwa seseorang.

Kata buruk lahir dari jiwa yang tidak tenteram dan kosong daripada cahaya iman. Kita disuruh selalu bercakap perkara memberi kebaikan, menimbulkan kesedaran dan semangat membawa diri ke arah kebenaran yang diredai Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia.…” (Surah Al-Baqarah, ayat 83)

Saling menasihati juga adalah komunikasi yang memberi manfaat dan dilakukan dengan perkataan yang baik, sopan dan ikhlas semata-mata untuk membaiki serta menyedarkan saudaranya daripada kelalaian.

Jika budaya ini dipandang ringan, pasti kita akan menanggung kerugian besar di dunia dan akhirat. Firman Allah yang bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal salih, mereka pula berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.” (Surah Al-‘Asr, ayat 1-3)
Sesungguhnya seorang yang berpegang teguh dengan agama, budaya menasihati ke arah kebaikan menjadi sebati dalam kehidupannya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, imam kaum muslimin dan umat Islam seluruhnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Hubungan baik boleh terjalin apabila sentiasa mendorong dan menyeru sesama kita melakukan perkara berfaedah seperti membangun ekonomi keluarga serta berusaha mendekatkan diri kepada Allah.

Matlamatnya adalah jelas kerana kita disaran berusaha membaiki akhlak dari semasa ke semasa dan amalan sentiasa mendorong serta mengajak kepada kebaikan memastikan umat Islam berada di landasan yang betul.

Justeru agama dengan keras dan lantang melarang perbuatan sia-sia seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Juga mereka yang khusyuk dalam solatnya dan menjauhkan diri dari yang sia-sia.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-3)

Contoh perbuatan sia-sia seperti berbual kosong di kedai kopi, melepak di pusat beli-belah, dan mensia-siakan usia yang lazim berlaku dalam masyarakat. Mereka harus diajak secara hikmah meninggalkan perbuatan yang merugikan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar.” (Surah Luqman, ayat 17)

Semua usaha perlu dilakukan dengan kesopanan dalam berbicara, menjadikan perhubungan sesama insan semakin mesra dan mencerminkan masyarakat Islam kaya sifat kasih-sayang.

Sumber: BHarian.

Saturday, March 19, 2011

Waspada Dalam Berkata-Kata

http://www.how-to-kiss.us/talking.jpg

Dalam menjalani kehidupan sehari-hari pernahkah kita terfikir untuk berhati-hati ketika meluahkan setiap perkataan daripada mulut kita?

Sememangnya boleh dikatakan semua orang memahami betapa pentingnya apabila mahu berkata-kata kerana jika tersilap langkah mereka boleh terjerumus ke dalam dosa.

Kita hanya sekadar menguar-uarkan pepatah kerana mulut badan binasa tetapi ramai yang tidak mematuhinya.

Pada dasarnya, ucapan mahupun perkataan merupakan cerminan jiwa. Maka itu, Nabi Muhammad SAW berpesan pilihlah kata-kata yang baik.

Dalam hal ini, baginda merupakan teladan terbaik. Setiap saat, Rasulullah senantiasa menggunakan kata yang baik dan lembut untuk umatnya.

Baginda menjauhkan kata-kata yang buruk, kasar, dan keji. Bahkan, Rasulullah sangat membenci jika ada kalimat yang digunakan tidak pada tempatnya yang sesuai. Misalnya, ada perkataan yang baik dan bermakna mulia namun diucapkan kepada orang atau sesuatu yang sebenarnya tidak berhak menyandang ucapan itu.

Begitulah juga sebaliknya, jika ada kalimah buruk dan bermaksud menghina tetapi ditujukan untuk orang atau sesuatu yang mulia.

Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian memanggil orang munafik dengan panggilan tuan kerana jika dia memang seorang tuan, maka dengan panggilan itu kalian telah membuat Tuhan kalian murka".

Selain itu, umat Islam diminta menjaga ucapan yang mengandungi syirik. Seperti ucapan, "Aku meminta pertolongan kepada Allah dan kepadamu".

Sesuai tuntutan Rasulullah, mereka yang mengucapkan kalimat-kalimat seperti itu bererti telah menyekutukan atau sepadan bagi Allah SWT.

Dalam buku Berakhlak dan Beradab Mulia, Contoh-contoh dari Rasulullah, Saleh Ahmad asy-Syaami menambahkan, kalimat bernada mencela juga sebaik-baiknya dihindari. Peringatan itu juga disampaikan oleh Rasulullah melalui hadis yang diriwayatkan Bukhari, Muslim dan Muttafaaq alaih.

Rasulullah mengatakan: "Allah SWT berfirman, Anak keturunan Adam menyakiti-Ku, kerana mereka mencela masa, padahal Aku adalah Zat yang menciptakan dan menguasai masa. Aku yang menggantikan malam dan siang". Asy-Syaami menyatakan, perkataan yang mencela melahirkan kesalahan besar.

Menurut beliau, celaan yang diucapkan itu sebenarnya akan mengenai diri mereka sendiri. "Mereka telah berkata hal-hal yang tak patut," katanya.

Asy-Syaami menegaskan, ucapan-ucapan yang tak baik sama sekali tidak mendatangkan manfaat apa pun, sebaliknya, menjerumuskan seseorang ke jalan kebatilan. Ucapan yang buruk juga mendatangkan perpecahan dan pertikaian antara sesama manusia.

Termasuk yang perlu dijauhi adalah berkata bohong. Islam tidak memberikan keringanan bagi umatnya yang berbohong.

Ibn Qayyim dalam kitab al-Fawa'id mengingatkan umat agar berhati-hati terhadap pembohongan. Sebab, kebohongan akan merosakkan cara pandang umat terhadap fakta yang sebenarnya.

Rasulullah melalui hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mengatakan, pembohongan akan mengiring pelakunya kepada kejahatan dan kejahatan akan menjerumuskan ke dalam neraka.

Sumber:
http://www.utusan.com.my

Tuesday, March 15, 2011

Kaum 'Aad Dimusnahkan Allah

MAKAM Nabi Hud a.s di Hadhramaut, Yaman.

Allah SWT mengutus Nabi Hud a.s kepada kaum 'Aad yang menghuni daerah al-Ahqaf di sekitar Hadhramaut, Yaman. 'Aad, suatu kaum yang dianugerahkan kelebihan daripada segi kekuatan tubuh badan, keelokan paras rupa dan kekuasaan, namun mereka berbuat syirik dan melakukan kezaliman dan menjajah hamba-hamba Allah.

Kaum 'Aad berkata: Siapakah yang lebih besar kekuatannya daripada kami. (al- Fussilat: 15). Seperti halnya Nabi Hud, kaum 'Ad juga merupakan keturunan Nabi Nuh, namun mereka tidak mengakui keesaan Allah SWT meskipun Nabi Hud telah memperingatkan mereka.

Oelh kerana itu, Allah SWT membinasakan mereka melalui azab-Nya.

Allah mengisahkan perdebatan antara Nabi Hud a.s dengan kaumnya menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum 'Ad saudara mereka , Hud. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada AIlah bagimu selain-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya?" Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami benar-benar memandang kamu dalam keadaan kurang akal, dan sesungguhnya kami menganggap kamu termasuk orang-orang yang berdusta.

Hud berkata: "Hai kaumku, tidak ada padaku kekurangan akal sedikitpun, tetapi aku ini adalah utusan dari Rabb semesta alam.

Mereka berkata: "Apakah kamu datang kepada kami, agar kami hanya menyembah Allah saja dan meninggalkan apa yang biasa disembah oleh bapak-bapak kami, maka datanglah adzab yang kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang-orang yang benar."

Ia (Hud) berkata: "Sungguh sudah pasti kamu akan ditimpa azab dan kemarahan dari Rabbmu. Apakah kamu sekalian hendak berbantah dengan aku tentang nama-nama (berhala) yang kamu dan nenekmu menamakannya, padahal Allah sekali-kali tidak menurunkan hujah untuk itu. Maka tunggulah (azab itu), sesungguhnya aku juga termasuk orang yang menunggu bersama kamu". (al-'Araaf: 65-71)

Bahkan mereka meminta didatangkan azab Allah sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka menjawab "Apakah kamu datang kepada kami untuk memalingkan kami dari (menyembah) ilah-ilah kami? Maka datangkanlah kepada kami azab yang telah kamu ancamkan kepada kami jika kamu termasuk orang-orang yang benar".

Setelah itu Allah mendatangkan azab yang membentang di ufuk pada waktu mereka amat memerlukan hujan. Datanglah awan yang mereka anggap sebagai tanda datangnya nikmat hujan yang mereka nantikan, namun ternyata adalah azab Allah kepada mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Maka tatkala mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, berkatalah mereka: "Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami". (Bukan)! Bahkan itulah azab yang kamu minta supaya datang dengan segera, (iaitu) angin yang mengandung azab yang pedih, yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Rabbnya, maka jadilah mereka tidak ada yang kelihatan lagi kecuali (bekas-bekas) tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa. (al-Ahqaf: 24-25)

Dalam ayat lain, iaitu dalam surat al-Haqqah ayat 6-8, Allah menjelaskan keadaan mereka, yang bermaksud: Adapun kaum 'Aad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang, yang Allah menimpakan angin itu kepada mereka selama tujuh malam dan delapan hari terus menerus; maka kamu lihat kamu 'Aad pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tanggul-tanggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk). Maka kamu tidak melihat seorangpun yang tinggal di antara mereka.

Syaikh 'Abdurrahman as-Sa'di mengatakan, setelah mereka menguasai dunia dan mencapai kemuliaan, semua keperluan hidup diperolehi, daerah dan kabilah di sekelilingnya tunduk kepada mereka, tiba-tiba Allah mengirim angin yang sangat dingin dan kencang saat hari-hari bencana tersebut agar mereka merasakan kehinaan di dunia dan azab akhirat lebih hina lagi.

Kaum Nabi Hud a.s dihancurkan Allah dengan angin yang sangat kencang dan cuaca teramat sejuk selama tujuh malam lapan hari, disebabkan kekufuran dan kemaksiatan mereka terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Sumber: Utusan Online

  

Sunday, March 13, 2011

Adab Mengunjungi Masjid Pada Jumaat

Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjFeqyeTY90uLHVRHLRNivBVieqEJ-bs1PJqtFmHsJDUrvqqMIe8rm78GwHaiSxhgcASgibnxzI9xJcAjLtm5mm22MKixfLrNGZoON7PxCyJJ6u4_rgfGr3xntLyXetg2lW0hPTjdwSxJI/s1600/picha3.jpg

MENURUT al Imam Hujjatul Islam, al-Ghazali, dalam Bidayatul Hidayah bahawa Jumaat adalah hari raya bagi orang Islam. Iaitu hari mulia yang sudah dikhususkan Allah SWT kepada umat Muhammad SAW. Malah, pada hari itu ada satu saat yang mustajab doa.

Apabila anda berada pada Jumaat, hendaklah mandi kerana mandi Jumaat itu hukumnya sunat Muakkad terhadap setiap orang yang diwajibkan padanya solat Jumaat. Bersungguh-sungguhlah kamu menyucikan badanmu dengan mencukur bulu ari-ari dan mengandam misai, memotong kuku, bersugi dan lain-lain. Kemudian pakailah pakaian putih kerana ia lebih disukai di sisi Allah dan pakailah minyak wangi terbaik yang dimiliki.

Sesudah itu bersegeralah ke masjid dan berjalanlah perlahan-lahan dengan penuh ketenangan.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda dalam suatu hadis yang bermaksud:

Siapa yang pergi (ke masjid pada Jumaat) pada jam yang pertama, maka seakan-akan ia berkorban seekor unta. Dan siapa yang pergi pada jam kedua, maka seakan-akan ia berkorban seekor lembu. Dan siapa yang pergi pada jam ketiga, maka seakan-akan ia berkorban seekor kibas. Dan siapa yang pergi pada jam keempat, seakan-akan ia berkorban seekor ayam. Dan siapa yang pergi pada jam kelima, seakan-akan ia berkorban sebiji telur. Dan apabila Imam sudah keluar (naik ke atas mimbar), maka dilipatlah buku catatan dan diangkat segala pena dan malaikat (yang bertugas sebagai pencatat) pergi duduk di tepi mimbar untuk mendengar khutbah.”

Ada riwayat lain mengatakan bahawa kadar hampir seorang hamba ketika melihat Allah (pada hari Kiamat kelak) adalah berdasarkan kepada kadar segeranya orang itu pergi ke masjid.

Apabila anda masuk ke dalam masjid, maka carilah saf yang pertama, tetapi sekiranya orang sudah ramai dan memenuhi saf berkenaan, maka janganlah anda melangkahi bahu mereka dan janganlah anda lalu di hadapan orang yang sedang menunaikan solat. Pilihlah tempat duduk berdekatan dengan dinding atau tiang sehingga orang tidak melintasi depanmu.

Janganlah duduk (dalam masjid) kecuali anda sudah menunaikan solat sunat Tahiyyatul Masjid. Janganlah anda meninggalkan solat sunat tahiyyatul masjid walaupun imam sedang membaca khutbah. Begitulah antara adab yang diterangkan oleh Imam Ghazali dalam kitab beliau, iaitu Bidayatul Hidayah

Sumber:
http://www.bharian.com.my

Wednesday, March 9, 2011

Malaikat Bantu Tentera Islam

SETELAH pasukan tentera Islam mencapai kemenangan di Badar mengalahkan tentera Quraisy, Rasulullah SAW segera menyampaikan berita gembira itu kepada para pengikut baginda yang lain di Madinah.

Dua orang sahabat, iaitu Abdullah bin Abi Rawahah dan Zaid bin Harithah diutuskan bagi menyampaikan berita itu sementara baginda masih di Badar dalam persiapan untuk pulang ke Madinah.

Sebelum itu, di Madinah telah tersebar berita palsu atau fitnah apabila golongan Yahudi dan munafik.

Mereka memberitahu, Rasulullah terbunuh di medan Badar dan tentera Islam mengalami kekalahan teruk.

Buktinya apabila Zaid bin Harithah pulang ke Madinah menyampaikan berita itu dengan menunggang unta milik Rasullullah yang bernama Al Qaswa.

Apabila daripada jauh mereka melihat Zaid menunggang unta itu dan ditunjukkan kepada para penduduk Madinah yang lain, maka mereka pun berkata: "Memang benarlah Muhammad telah mati dibunuh. Bukankah unta yang dinaiki oleh Zaid itu kita sangat kenal? Zaid pun tidak tahu untuk berkata-kata apa kerana takut dan pulang bagai orang yang tewas."

Namun apabila kedua-dua utusan itu sampai di tengah-tengah orang ramai yang mula berkerumun untuk mengetahui berita yang dibawa, mereka begitu terkejut.

Lebih-lebih lagi apabila Abdullah dan Zaid melaung-laungkan: "Sudah terbunuh Abu Jahal yang fasiq itu! Telah terbunuh juga Utbah, Umayyah, Syaibah dan Abu Al Buhturi!"

Penduduk Madinah menjadi terpinga-pinga. Ini kerana ada juga yang mengetahui bahawa Nabi SAW dan para sahabat keluar dari Kota Madinah untuk menyekat rombongan dagang Abu Suffian.

Jadi apa kena mengena nama-nama yang disebutkan tadi dengan kafilah Abu Suffian itu?

Bagaimanapun, apabila Abdullah dan Zaid memberitahu perkara yang sebenar dan kemenangan yang mereka capai, barulah penduduk Islam Madinah bersorak sorai kegembiraan.

Mereka bertakbir dan berselawat meraikan kemenangan yang tidak disangka-sangka itu.

Namun bagi golongan Yahudi dan munafik di Madinah tetap tidak percaya dengan berita gembira yang dibawa oleh Abdullah dan Zaid itu. Bagaimana Muhammad yang pergi menyekat kafilah yang sangat besar itu datang membawa cerita bahawa semua panglima Mekah tewas di tangan Nabi Muhammad. Sekali gus juga 70 orang pahlawan Mekah tewas.

Walaupun golongan ini cuba menyebarkan fitnah mengatakan bahawa Nabi Muhammad sebenarnya telah mati dibunuh berikutan unta yang ditunggang oleh Zaid itu, mereka tidak dapat menyekat para pembesar yang beramai-ramai keluar dari Madinah kerana tidak sabar untuk menemui Nabi SAW.

Ketika tiba di Al Rawha, mereka pun bertemu dengan rombongan baginda di situ. Di situ baginda menerima ucapan tahniah dan begitu gembira berkongsi kejayaan dengan pasukan tentera Islam yang lain.

Salah seorang daripada mereka, iaitu Salamah bin Abi Sa'lamah pun berkata: "Apa sebabnya kami mengucapkan tahniah kepada kamu? Demi Allah kemenangan ini tidak lain kecuali kerana dibantu oleh orang-orang tua yang botak kepalanya tetapi gagah perkasa mengalahkan seekor unta yang garang!"

Sambil tersenyum baginda pun berkata: "Wahai anak saudaraku, mereka itu sebenarnya para malaikat yang turun membantu!"

Sementara Usaid bin Hudayr pula berkata: "Wahai Rasulullah, syukur kepada Allah yang memberi kemenangan kepadamu dan mententeramkan kamu. Demi Allah, wahai Rasulullah, kalaulah aku tahu bahawa kamu akan bertemu dengan musuh besar dalam suasana perang nescaya pasti aku juga ingin turut menyertai dalam peperangan ini.

"Kerana tidak menyangka bahawa kamu keluar sebenarnya untuk menghadapi sebuah angkatan perang dari pihak Quraisy".

"Kamu benar, semuanya sebagaimana dalam perancangan Allah," jawab baginda.

Tidak lama kemudian, mereka pun semakin menghampiri Kota Madinah dan makin ramai penduduk Madinah yang menyambut baginda dan anggota tentera yang lain. Saat itu bagai pesta bagi seluruh penduduk Madinah menyambut kemenangan tentera Islam.

Namun di saat itu juga seluruh golongan Yahudi hanya mampu melihat daripada jauh kepulangan yang penuh dengan kemenangan itu dengan pelbagai perasaan yang tidak kurang juga gerun di hati.

Kemenangan di Badar bererti umat Islam bukan lagi calang-calang yang boleh dikalahkan. Begitupun, kepulangan Rasulullah dalam keadaan tidak mengalami sebarang kecederaan itu persis pahlawan yang gagah berani telah menarik lebih ramai penduduk Madinah memeluk Islam.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/

Saturday, March 5, 2011

Jawatan Adalah Suatu Amanah

KEWAJIPAN menunaikan amanah adalah tuntutan utama dalam agama Islam. Punca utama kerosakan umat, kegawatan ekonomi dan kepincangan politik hari ini adalah disebabkan amanah yang sudah tidak diberi perhatian lagi.

Kepemimpinan adalah amanah yang penting kerana ia berkait rapat dengan pengurusan umat. Abu Zar pernah meminta jawatan kepada Baginda Nabi SAW lalu Baginda menepuk bahu Abu Zar seraya berkata: “Wahai Abu Zar, engkau tidak mampu. Jawatan adalah amanah. Ia adalah penghinaan dan penyesalan di hari kiamat melainkan mereka yang menguruskannya dengan cara yang betul.” – (Hadis riwayat Muslim)

Di sinilah bermula kesinambungan pelaksanaan agama dalam menjalankan amanah kepemimpinan yang berpaksikan kepada perintah dan tegahan daripada Allah SWT. Oleh itu, jawatan disandang akan mendorong ke arah menepati kehendak Allah seterusnya menjamin keselamatan di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: “Kami jadikan negeri akhirat itu untuk mereka yang tidak mengimpikan ketinggian di dunia dan tidak melakukan kerosakan.” – (Surah Al-Qasas, ayat 83)

Memetik khutbah Imam Dua Madinah, Syeikh Husain Abd Aziz, Islam mewajibkan semua pemimpin berlaku adil dalam semua urusan berkaitan kepemimpinannya sehingga Nabi SAW meletakkan kedudukan pemimpin yang adil setaraf mereka yang mendapat naungan Allah SWT di akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu mengembalikan amanah kepada empunyanya dan hukumlah dengan adil antara sesama manusia.” – (Surah An-Nisa’, ayat 58)

Daripada Abdullah Bin Umar, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Orang yang adil akan disediakan untuk mereka satu mimbar yang diperbuat daripada cahaya cukup indah sehingga menarik perhatian semua penghuni syurga.” – (Hadis riwayat Muslim).

Pada masa sama, Allah mengingatkan supaya menjauhi sifat zalim yang membinasakan. Ketika Nabi SAW ingin menghantar Muaz ke Yaman, Baginda berpesan: “Wahai Muaz, takutlah kamu dengan doa orang yang kena zalim kerana tiada hijab antara doa mereka dengan Allah.” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam menggariskan beberapa panduan terhadap pemimpin yang dilantik antara perkara perlu untuk dilakukan kepada rakyat:

* Berlembut dan bersifat peri kemanusiaan terhadap rakyat jelata.
* Prihatin terhadap mereka.
* Merendah diri dengan mereka.
* Mendengar dan memahami keperluan mereka.
* Mengajak dan mendorong rakyat supaya melakukan kebaikan.
* Membimbing dan menasihati mereka ke jalan yang baik.
* Mendengar pandangan yang berguna dari semua pihak
dan berbincang dengan hikmah dan bijaksana.

Sabda Rasul yang bermaksud: “Sesiapa yang diberi jawatan lalu menyekat keperluan rakyatnya dengan jawatannya itu, nescaya Allah akan menyekat keperluannya di hari kiamat kelak.” – (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Seorang pemimpin yang baik juga didorong oleh mereka yang berada di sekelilingnya sebagai pembantu bagi melaksanakan misinya.

Sabda Nabi yang maksudnya: “Jika Allah menginginkan seorang pemimpin yang baik, maka Allah akan jadikan untuknya pembantu yang sentiasa mengingatinya jika terlupa. Begitu juga sebaliknya jika Allah menginginkan seorang pemimpin yang tidak baik.” – (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasai’)

Islam melarang keras pemimpin menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi. Nabi SAW bersabda dengan maksud: “Sesiapa yang menggunakan kedudukannya untuk menguruskan harta orang ramai ke jalan yang tidak benar, maka mereka akan mendapat seksaan di hari akhirat kelak.” – (Hadis riwayat Bukhari)

Sumber:
http://www.bharian.com.my/

Ingat Mati Termasuk Golongan Cerdik

KITA selaku Muslim beriman hendaklah menerima hakikat semua makhluk Allah tidak kekal di dunia, termasuklah manusia. Dari hari ke sehari usia kita kian bertambah pendek dan bila tiba saatnya, kita terpaksa pergi juga ke alam baqa.

Penjelasan al-Quran mengenai hal ini seharusnya menjadi pesan menyedarkan kita yang sering kali alpa dan sibuk dengan urusan duniawi yang bersifat sementara.

Allah berfirman yang mafhumnya: “Katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu lari darinya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemuimu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia berikan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Al-Jumu’ah, ayat 8)

Orang yang menyedari mati pasti datang tidak akan mensia-siakan usianya, sentiasa berusaha mengisi waktu ke arah memantapkan keimanan. Setiap detik sangat berharga baginya, tidak suka membuang masa dengan hal tidak mendatangkan manfaat.

Menginsafi bahawa hidup di dunia hanyalah ibarat seekor burung yang hinggap di ranting, bila tiba masanya akan terbang lagi dan dengan tekun mempersiapkan diri untuk bekalan menghadapi saat kematian adalah dikatakan manusia yang cerdik.

Dinyatakan oleh Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan seorang lelaki Ansar siapakah yang paling cerdik. Baginda berkata: “Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik.” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Usia masih tersisa adalah anugerah Allah yang mahal harganya seharusnya disyukuri dengan kesibukan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi orang terbaik dan berfaedah di tengah masyarakat baik dengan harta, tenaga atau pun ilmu yang ada.

Dengan cara begini, kita berada di tangga sebaik-baik manusia seperti mana penjelasan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang diberi panjang umur dan umur yang panjang itu dia gunakan untuk membuat kebaikan sebanyak-banyaknya dan sejahat-jahat manusia ialah orang yang diberi Tuhan umur panjang tetapi umur panjang itu digunakan untuk melakukan kejahatan dan kerusuhan saja.” (Hadis riwayat Ahmad)

Di samping itu, kita hendaklah segera bertaubat sebagai usaha pembersihan diri daripada dosa. Allah melarang seseorang yang suka bertangguh untuk taubat sebab mati tidak diketahui bila.

Jika sikap bertangguh diamalkan, maka dikhuatiri kita mati dalam keadaan tidak sempat untuk bertaubat. Tentu akan menanggung kerugian yang besar dan penyesalan tidak sudah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran, ayat 133)

Syarat diterimanya taubat nasuha mengikut Imam al-Raghib al-Asfahani ialah kita harus memenuhi empat perkara iaitu meninggalkan dosa kerana keburukannya, menyesali dosa yang telah dilakukan, berkeinginan kuat untuk tidak mengulangi dan berusaha melakukan apa yang boleh diulangi (diganti).

Kita mesti faham bahawa Allah memberi kesempatan hidup di dunia supaya manusia menjalankan tugas sebagai khalifah, mengatur dan mengolah alam sehingga terwujudnya kehidupan yang adil, makmur dan penuh reda Allah.

Dengan umur yang masih ada ini kita gunakan untuk menunaikan amanah Allah, pasti segala amalan dilakukan tidak dipersiakan oleh Allah, akan mendapat ganjaran setimpal di akhirat nanti.

Renungilah firman Allah yang bermaksud: “Mereka itu adalah orang yang bertaubat, beribadat, memuji (Allah), puasa, rukuk, sujud, menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat munkar dan memelihara hukum Allah. Dan gembirakanlah orang mukmin itu.” (Surah At-Taubah, ayat 112).

Sumber:
http://www.bharian.com.my/

Thursday, March 3, 2011

Guru Takmir Bentuk Sahsiah, Akidah Umat

PROGRAM pendidikan dewasa di masjid dan surau yang dulunya dianggap cara mengimarahkan rumah Allah terus berkembang hingga hari ini dan menjadi kurikulum pengajian yang mendapat sambutan masyarakat Islam setempat.

Justeru, kehadiran guru takmir yang menjadi tulang belakang kelas pengajian itu tetap relevan untuk menyebarkan dakwah dalam dunia semakin mencabar dengan pelbagai masalah baru yang timbul.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata program Pengajian Takmir Masjid dan Surau yang mula diperkenalkan pada 1985 bertujuan menghidupkan budaya ilmu melalui rujukan yang sahih serta bertanggungjawab.

Katanya, sistem pengajian berstruktur itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai kemudahan masyarakat setempat mendalami ilmu agama.

“Dulunya orang panggil tok guru kampung yang mengajar agama di surau atau masjid. Mereka kebanyakan terdiri daripada imam dan sering menjadi rujukan untuk permasalahan agama. Guru takmir diperkenalkan sejak 25 tahun lalu supaya pengajian di masjid lebih berstruktur.

“Maknanya, setiap pengajian mempunyai buku rujukan yang standard. Program takmir ini adalah gelombang baru untuk hidupkan masjid dan surau secara lebih berkesan kerana kita tidak mahu masjid hanya pusat solat jemaah saja,” katanya.

Katanya, walaupun kebanyakan guru takmir bersifat ‘low profile,’ tetapi hakikatnya peranan mereka sangat penting dan pengaruh mereka membentuk pemikiran masyarakat setempat tidak boleh dipandang ringan.

Faktor pertambahan kelas turut menuntut kepada usaha mendapatkan tenaga pengajar dari luar institusi masjid yang melihat guru takmir menjelajah ke merata daerah bagi memenuhi jemputan pihak yang ingin mendapatkan khidmat serta berkongsi ilmu mereka.

Program pengajian takmir bertujuan mengimarahkan masjid dan surau di seluruh negara dengan kegiatan keilmuan Islam disediakan secara percuma kepada masyarakat awam itu dibiayai sepenuhnya oleh JAKIM dan dilaksanakan oleh JAIN.

Selepas 25 tahun dilaksanakan, program kerjasama ini banyak memberikan kesan positif kepada perkembangan agama Islam serta mengimarahkan masjid dan surau.

Menyedari pentingnya ilmu Islam dapat disampaikan secara efektif, program Takmir Masjid dan Surau dikaji dan diperkasa dari semasa ke semasa supaya sahsiah ummah dapat dibangunkan berdasarkan kemurnian akidah, keadilan syariah dan ketinggian akhlak.

Sehingga kini ada 3,692 guru takmir berdaftar dan bertanggungjawab mengendalikan 29,333 kelas takmir membabitkan 6,119 masjid dan 17,284 surau di seluruh negara. Dianggarkan 1.5 juta orang menerima manfaat menimba ilmu agama melalui program ini setiap bulan.

Berdasarkan analisa JAKIM, 63.8 peratus yang mengikuti program takmir adalah kalangan mereka berumur 51 tahun ke atas manakala pembabitan golongan remaja sekitar 4.7 peratus.

Wan Mohamad berkata, kelas takmir tetap dikategorikan sebagai kelas dewasa kerana kumpulan sasar yang setia mengikuti serta memanfaatkannya masih terdiri daripada golongan sudah berusia khususnya pesara.

Katanya, program baca kitab seperti kelas takmir tidak sesuai dengan golongan muda dan pendekatan lebih kreatif dengan pengisian program lebih sesuai diperlukan untuk menarik kumpulan berkenaan.

“Namun, guru takmir tetap berdepan cabaran kerana anak murid kini lebih berpengetahuan. Mereka peroleh ilmu daripada pelbagai sumber termasuk internet. Guru takmir tidak boleh bergantung pada buku teks saja sebaliknya mengambil inisiatif mendapatkan maklumat tambahan,” katanya.

Ternyata peranan guru takmir menyampaikan ilmu sangat berkesan kerana berdasarkan kajian oleh pasukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), persepsi guru takmir terhadap program ini sangat baik iaitu 93.63 peratus dan kecapaian objektif takmir adalah 96.9 peratus.

Penggerak masjid dan surau Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Maskob Sibun, berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai guru takmir selagi kehadirannya sebagai pendakwah diterima masyarakat.

Beliau yang berkhidmat sebagai guru takmir selama 38 tahun berkata, tugas yang sudah sebati dengan jiwanya itu menjadi landasan untuk berdakwah selain berkongsi ilmu pengetahuan bersama jemaah masjid serta ahli kariah.

“Matlamat kami guru takmir bukan untuk mendapat imbuhan kerana awal dulu pun tugas ini dilaksanakan dengan ikhlas. Kini, kehadiran guru takmir mendapat pengiktirafan dan disediakan elaun, yang saya fikir sebagai pendorong kepada guru takmir memberi khidmat lebih baik.

“Penerimaan terhadap kelas takmir juga memberangsangkan kerana melihat kepada pengalaman, selepas lima atau enam bulan ditubuhkan, kelas pengajian akan berkembang dan kehadiran juga membanggakan,” katanya.

Bekas guru penolong kanan Sekolah Kebangsaan Felda Air Tawar, Kota Tinggi, Johor, Omar Darmawan, berkata sistem pengajaran berstruktur membolehkan proses pendidikan dilaksanakan secara tersusun.

Beliau yang banyak mengendalikan kelas takmir di sekitar daerah Kluang berkata, perbincangan dua hala antara guru dan peserta membolehkan sesuatu isu dikupas mengikut kesesuaian serta perkembangan semasa.

“Jika ada perbezaan pandangan kita akan merujuk kitab aliran ahli sunnah wal jamaah yang disediakan. Dengan cara ini juga kita boleh menangkis fahaman lain yang tidak selari pegangan ahli sunnah yang kian berkembang kini,” katanya

Sumber:
http://www.bharian.com.my/