Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata program Pengajian Takmir Masjid dan Surau yang mula diperkenalkan pada 1985 bertujuan menghidupkan budaya ilmu melalui rujukan yang sahih serta bertanggungjawab.
Katanya, sistem pengajian berstruktur itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai kemudahan masyarakat setempat mendalami ilmu agama.
“Dulunya orang panggil tok guru kampung yang mengajar agama di surau atau masjid. Mereka kebanyakan terdiri daripada imam dan sering menjadi rujukan untuk permasalahan agama. Guru takmir diperkenalkan sejak 25 tahun lalu supaya pengajian di masjid lebih berstruktur.
“Maknanya, setiap pengajian mempunyai buku rujukan yang standard. Program takmir ini adalah gelombang baru untuk hidupkan masjid dan surau secara lebih berkesan kerana kita tidak mahu masjid hanya pusat solat jemaah saja,” katanya.
Katanya, walaupun kebanyakan guru takmir bersifat ‘low profile,’ tetapi hakikatnya peranan mereka sangat penting dan pengaruh mereka membentuk pemikiran masyarakat setempat tidak boleh dipandang ringan.
Faktor pertambahan kelas turut menuntut kepada usaha mendapatkan tenaga pengajar dari luar institusi masjid yang melihat guru takmir menjelajah ke merata daerah bagi memenuhi jemputan pihak yang ingin mendapatkan khidmat serta berkongsi ilmu mereka.
Program pengajian takmir bertujuan mengimarahkan masjid dan surau di seluruh negara dengan kegiatan keilmuan Islam disediakan secara percuma kepada masyarakat awam itu dibiayai sepenuhnya oleh JAKIM dan dilaksanakan oleh JAIN.
Selepas 25 tahun dilaksanakan, program kerjasama ini banyak memberikan kesan positif kepada perkembangan agama Islam serta mengimarahkan masjid dan surau.
Menyedari pentingnya ilmu Islam dapat disampaikan secara efektif, program Takmir Masjid dan Surau dikaji dan diperkasa dari semasa ke semasa supaya sahsiah ummah dapat dibangunkan berdasarkan kemurnian akidah, keadilan syariah dan ketinggian akhlak.
Sehingga kini ada 3,692 guru takmir berdaftar dan bertanggungjawab mengendalikan 29,333 kelas takmir membabitkan 6,119 masjid dan 17,284 surau di seluruh negara. Dianggarkan 1.5 juta orang menerima manfaat menimba ilmu agama melalui program ini setiap bulan.
Berdasarkan analisa JAKIM, 63.8 peratus yang mengikuti program takmir adalah kalangan mereka berumur 51 tahun ke atas manakala pembabitan golongan remaja sekitar 4.7 peratus.
Wan Mohamad berkata, kelas takmir tetap dikategorikan sebagai kelas dewasa kerana kumpulan sasar yang setia mengikuti serta memanfaatkannya masih terdiri daripada golongan sudah berusia khususnya pesara.
Katanya, program baca kitab seperti kelas takmir tidak sesuai dengan golongan muda dan pendekatan lebih kreatif dengan pengisian program lebih sesuai diperlukan untuk menarik kumpulan berkenaan.
“Namun, guru takmir tetap berdepan cabaran kerana anak murid kini lebih berpengetahuan. Mereka peroleh ilmu daripada pelbagai sumber termasuk internet. Guru takmir tidak boleh bergantung pada buku teks saja sebaliknya mengambil inisiatif mendapatkan maklumat tambahan,” katanya.
Ternyata peranan guru takmir menyampaikan ilmu sangat berkesan kerana berdasarkan kajian oleh pasukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), persepsi guru takmir terhadap program ini sangat baik iaitu 93.63 peratus dan kecapaian objektif takmir adalah 96.9 peratus.
Penggerak masjid dan surau Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Maskob Sibun, berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai guru takmir selagi kehadirannya sebagai pendakwah diterima masyarakat.
Beliau yang berkhidmat sebagai guru takmir selama 38 tahun berkata, tugas yang sudah sebati dengan jiwanya itu menjadi landasan untuk berdakwah selain berkongsi ilmu pengetahuan bersama jemaah masjid serta ahli kariah.
“Matlamat kami guru takmir bukan untuk mendapat imbuhan kerana awal dulu pun tugas ini dilaksanakan dengan ikhlas. Kini, kehadiran guru takmir mendapat pengiktirafan dan disediakan elaun, yang saya fikir sebagai pendorong kepada guru takmir memberi khidmat lebih baik.
“Penerimaan terhadap kelas takmir juga memberangsangkan kerana melihat kepada pengalaman, selepas lima atau enam bulan ditubuhkan, kelas pengajian akan berkembang dan kehadiran juga membanggakan,” katanya.
Bekas guru penolong kanan Sekolah Kebangsaan Felda Air Tawar, Kota Tinggi, Johor, Omar Darmawan, berkata sistem pengajaran berstruktur membolehkan proses pendidikan dilaksanakan secara tersusun.
Beliau yang banyak mengendalikan kelas takmir di sekitar daerah Kluang berkata, perbincangan dua hala antara guru dan peserta membolehkan sesuatu isu dikupas mengikut kesesuaian serta perkembangan semasa.
“Jika ada perbezaan pandangan kita akan merujuk kitab aliran ahli sunnah wal jamaah yang disediakan. Dengan cara ini juga kita boleh menangkis fahaman lain yang tidak selari pegangan ahli sunnah yang kian berkembang kini,” katanya
Sumber:
http://www.bharian.com.my/
No comments:
Post a Comment