Thursday, October 13, 2011

Iktibar Terbaik Dari Mekah

CERITA aneh itu bersambung dengan kisah wanita tersebut ingin menyudahkan tawaf. Tetapi dirinya ketika itu benar-benar buntu. "Mustahil bagi saya untuk keluar mengambil air kerana keadaan masa itu sangat sesak, padat dengan jemaah. Saya memegang tangan ibu dan suami".

Saya menangis teresak-esak sambil berdoa kepada Allah: "Aku mohon pada-Mu, ya-Allah. Bantulah aku, kerana aku tidak mampu selesaikan ibadah ini tanpa air, ya Allah!

"Saya merayu dan terus menangis melihat air yang tidak berhenti-henti mengalir keluar dari botol yang saya pegang. Tanpa air, saya akan pengsan. Tetapi aneh, beberapa minit kemudian, tiba-tiba air tidak lagi keluar.

"Saya tercari-cari di mana lubang yang pecah tadi, tapi tiada. Saya benar-benar takjub dengan kekuasaan Allah. Lubang yang pecah tadi, tidak semena-mena sahaja tertutup rapat.

"Benarlah, apabila kita menyerahkan seluruh diri kita kepada Allah, bersangka baik kepada-Nya dan berdoa di tempat yang mustajab, nescaya akan ditunaikan-Nya".

Ia seperti mana firman Allah: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan Sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (al-Baqarah: 45)

Demikianlah secebis daripada beberapa lagi kisah menakjubkan yang pernah dialami oleh tokoh agama dan penceramah bebas yang terkenal, Datuk Dr. Fatma El-Zahraa Mohd. Ramadan semasa menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.

Sesungguhnya bumi Mekah adalah tanah yang penuh rahmat. Malah, ia penuh dengan keajaiban yang semuanya menunjukkan betapa agung dan besarnya kuasa Allah SWT untuk menjadi iktibar serta pengajaran kepada manusia.

Pengacara televisyen dan pelakon terkenal, Wardina Safiyyah turut mengakuinya. Wardina kemudian mengungkapkan betapa cuaca ketika itu sungguh panas. Matahari terik, sinarannya memancar-mancar sehingga ke lantai masjid.

"Saya meraung-raung tidak mahu memijak lantai itu. Sudah pasti lantai akan berasa panas terkena matahari yang sedang menyala-nyala di atas kepala. Ayah berusaha memujuk saya, tapi saya tetap berdegil. Ayah memberitahu saya, jangan takut, lantai itu tidak panas.

"Lama ayah memujuk, akhirnya dengan teragak-agak saya mematuhinya. Tapi ajaibnya, walaupun cuaca ketika itu sangat panas, lantai masjid sangat sejuk. Saya rasa seolah-olah memijak lantai pada waktu pagi".

Cukup aneh

Pengalaman yang dilalui oleh tokoh agama, Datuk Dr. Haron Din semasa di Mekah, barangkali antara yang paling menarik. Pengalaman pertama dialaminya apabila didatangi seorang lelaki yang tiba-tiba muncul untuk membantunya membahagikan sejumlah wang kepada seorang rakan.

Aneh, kerana lelaki itu tidak dikenalinya dan Dr. Haron sudah lupa tentang wang tersebut. Ketika itu beliau hanya menunggu masa untuk menunaikan tawaf wida', kemudian berlepas pulang.

Jika teringat sekali pun, beliau takkan sempat membahagikan wang tersebut kepada pemiliknya. Jadi, siapakah lelaki tidak dikenali, yang datang pada saat-saat genting untuk membantunya?

Begitulah juga dengan seorang sahabat beliau yang buntu selepas beberapa bulan gagal mencari barang-barang perniagaannya yang bernilai puluhan ribu ringgit. Dalam saat-saat kritikal itulah, pada waktu subuh di hadapan Multazam, seorang lelaki tidak semena-mena menghampirinya dan memberitahu di mana barang tersebut berada.

Dalam hal ini Dr. Haron Din berkata: "Bagi saya pengalaman-pengalaman ini cukup aneh dan menginsafkan. Siapa lelaki aneh tadi? Dari mana mereka datang? Macam mana mereka boleh tahu masalah kita? Macam mana dia boleh kenal saya dan sahabat saya tadi? Cuma Allah yang tahu jawapannya..."

Di atas adalah sedutan daripada beberapa kisah menarik yang terkandung di dalam bukuPilihan Terbaik Kisah Aneh & Iktibar Dari Mekah.

Buku produksi majalah Mastika dan diterbitkan oleh Utusan Karya Sdn. Bhd. ini dilancarkan pada 22 September lalu oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin dan kini berada di pasaran.

Ia merupakan edisi ketiga kisah-kisah terbaik dari Tanah Suci yang diterbitkan oleh UKSB. Bacalah, anda pasti merasakan buku ini memang istimewa dan menginsafkan.

Bayangkan, terdapat 34 cerita di dalam buku ini, berdasarkan pengalaman individu-individu berbeza. Selain tiga tokoh tadi, buku ini turut memaparkan kisah-kisah aneh dan penuh pengajaran yang diceritakan oleh pakar dalam bidang urusan haji dan umrah, Datuk Md. Daud Che Ngah dan penceramah bebas, Syed Mohd. Norhisyam Al-Idrus.

Paling istimewa, beberapa orang selebriti terkenal iaitu pelakon, Ashraf Muslim dan Irma Hasmie, serta pengacara televisyen, dan Ahmad Fedtri Yahya turut berkongsi pengalaman menyaksikan kejadian-kejadian tersebut.

Kisah misteri seorang peminta sedekah serta jemaah tua berkulit hitam yang boleh berada di dua tempat yang jauh dalam sekelip mata, pasti akan membuatkan anda terkejut dan insaf.

Begitu jugalah dengan kejadian jemaah yang hilang nikmat 'dot dot dot'nya di Tanah Suci, makhluk hitam selamatkan isteri di Jamratul Aqabah, jenazah ustaz tidak disentuh api, pintu bertukar menjadi dinding, ghaib dalam dunia serba hitam, asyik selak kain, maafkan aku wahai Rasulullah, terkurung dalam kain perempuan hitam, Allah sedang murka dan sebagainya.

Semuanya menginsafkan dan menimbulkan seribu satu persoalan. Kisah-kisah ini amat berguna untuk dijadikan bacaan serta panduan oleh para jemaah yang sedang dan akan menunaikan haji. Juga kepada kita, bagi membersihkan jiwa dalam menjalani kehidupan ini.

Menariknya, selain perkongsian pengalaman tadi, buku Pilihan Terbaik Kisah Aneh & Iktibar Dari Mekah turut menyertakan fakta-fakta ringkas tentang Tanah Suci serta ibadah haji dan umrah. Antaranya ialah mengenai Mekah, Madinah, Kaabah, Multazam, air zamzam, Hijr Ismail, masjid-masjid yang terdapat di sana, Bukit Uhud dan perkuburan Baqi'.

Fakta-fakta ringkas ini tidak pernah disiarkan dalam dua edisi sebelum ini. Ia sangat berguna kepada pembaca bagi memahami cerita yang dipaparkan, dan juga kepada bakal jemaah yang akan menunaikan umrah atau haji.

Buku ini adalah bacaan terbaik anda pada musim haji ini. Anda perlu mendapatkannya segera kerana harganya cuma RM9.90 sahaja, sedangkan kisah serta tokoh yang dipaparkan bukan sembarangan.

Sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment