Saturday, May 21, 2011

Masalah Menguji Tahap Keimanan Ummah

Oleh Haslinda Lukman



SETIAP individu baik remaja, dewasa atau orang tua, sudah semestinya pernah menghadapi masalah dalam hidup. Kata orang hidup tanpa masalah bukan hidup namanya. Berlegar dari masalah yang paling besar hinggalah masalah paling kecil, semuanya tetap dinamakan masalah.

Cuma masalah yang dihadapi seseorang itu berbeza. Bagaimana cara untuk mengatasinya juga adalah satu masalah. Namun, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya tetapi sebelum masalah itu selesai kita akan berasa sangat tertekan, hampir putus asa kerana tidak tahan menghadapinya.

Antara masalah yang wujud di persekitaran kita ialah masalah kemiskinan, kehilangan orang tersayang, masalah cinta, pertengkaran dengan ibu bapa dan masalah pelajaran. Masalah kecil apabila tidak ditangani dengan baik boleh membawa kepada mudarat yang amat besar.


Masalah boleh menyumbang kepada masalah lain, contohnya masalah remaja yang tidak tahan dengan leteran ibu bapanya boleh membawa remaja itu kepada masalah lepak, pergaulan bebas, dirogol, diculik dan juga mungkin dibunuh.

Masalah sebenarnya ujian Allah kepada kita untuk mengukur sejauh mana tahap keimanan dan ketakwaan kita terhadap-Nya. Manusia sering terlupa serta lalai dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah apabila hidup dilimpahi kesenangan dan kemewahan.

Lebih-lebih lagi ketika usia remaja, hidup penuh dengan keseronokan dan sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru walaupun perkara itu jelas haram di sisi agama dan menyalahi undang-undang dunia seperti mengambil dadah dan hanyut dengan maksiat.

Adanya ujian seperti ini, akan kembali mengingatkan kita apakah hidup selama ini mengikuti peraturan atau landasan ditetapkan Allah ataupun jauh menyimpang.
Ujian atau dugaan yang datang adalah dari Allah, sama ada ujian itu sebagai ‘kifarah’ dosa yang kita lakukan atau untuk mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Allah juga tidak menduga hamba-Nya tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaan mereka untuk menghadapinya.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Oleh itu apabila berhadapan dengan masalah, cuba bawa bertenang, bersabar dan tetapkan dalam minda bahawa kita sedang diuji Allah, orang yang melepasi ujian itu orang yang berjaya dan mendapat kedudukan mulia di sisi Allah.

Minta pertolongan dari Allah, jangan sedih dan kecewa, luahkan masalah pada teman yang dipercayai walaupun dia mungkin tidak dapat membantu, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban yang ditanggung.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan minta pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 45)

Sumber: BHarian

No comments:

Post a Comment