Oleh: Ustaz Zahazan Mohamed
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Ia menciptakan kamu (wahai golongan lelaki) pasangan (isteri) dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. (Surah ar-Rum, ayat 21)
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.
Menurut Tafsir Ibnu Kathir, yang dimaksudkan dengan pasangan iaitu Hawa.
Allah SWT menciptakan Hawa daripada tulang rusuk sebelah kiri Adam yang pendek. Seandainya Allah SWT menjadikan semua manusia jenis lelaki manakala pasangannya makhluk yang lain seperti jin dan haiwan, nescaya tidak ada keserasian dan kesesuaian di antara pasangan itu. Bahkan bila mana pasangan berkenaan berlainan jenis, nescaya akan lahir perasaan tidak selesa dan ketakutan.
Selanjutnya, di antara kesempurnaan kasih sayang Allah SWT terhadap manusia, Allah menjadikan pasangan mereka itu daripada jenis mereka sendiri. Allah menciptakan pada setiap pasangan itu rasa cinta dan kasih sayang. Ini kerana tidaklah seorang lelaki menikahi seorang wanita melainkan pertama, kerana rasa cinta dan kasih sayang yang dibuktikan dengan lahirnya anak daripada rahim isteri.
Kedua, kerana si isteri memerlukan nafkah daripadanya dan ketiga kerana ingin menciptakan rasa cinta antara mereka berdua.
Nikmat dijadikan Allah SWT itu hendaklah difikirkan sehingga menimbulkan rasa syukur dalam diri dengan mematuhi perintah dan meninggalkan larangan-Nya.
Berkaitan jodoh, tidak semua manusia yang lahir ke dunia ini pasti berkahwin. Ia adalah rahsia Allah SWT sebagai mana persoalan rezeki, ajal dan sebagainya.
Begitu juga, tidak semua yang berkahwin itu pasti mempunyai zuriat. Tetapi secara fitrahnya, manusia memerlukan pasangan, zuriat, harta dan seumpamanya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda yang diingini nafsu iaitu perempuan, dan anak pinak, dan harta yang banyak terdiri daripada emas dan perak.” (Surah Ali Imran, ayat-14)
Antara perkara yang boleh kita lakukan adalah:
1. Hendaklah seseorang yang mengakui beriman, berbaik sangka dengan Allah SWT jika masih belum menemui jodoh agar jiwanya menjadi lapang.
2. Banyakkan berdoa dan bermunajat kepada-Nya.
3. Ketiga, hendaklah bertakwa kepada-Nya.
4. Keempat, hendaklah berusaha untuk mencari jodoh yang tidak melanggar syariat Allah SWT. Antara jalan untuk memperoleh jodoh iaitu melalui perantara ibu bapa, sahabat dan orang salih.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang bujang (lelaki dan perempuan) dalam kalangan kamu dan orang yang salih daripada hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur, ayat 32)
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seseorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu reda (berpuas hati) agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Sekiranya tidak, maka akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.”
Bagi ibu bapa atau sesiapa saja yang mencari jodoh orang lain hendaklah menitikberatkan ibadat kerana aspek salih itu harus menjadi keutamaan. Jangan menjadikan kecantikan, kekayaan dan keturunan sebagai keutamaan.
Jangan memilih orang fasik sekalipun ia memiliki kekayaan atau rupa. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis: “Sesiapa yang menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasik, bererti ia memutuskan hubungan silaturahim dengan anaknya sendiri.”
Akhirat adalah persoalan balasan amalan. Orang beriman dijanjikan tempat kemuncak kenikmatan. Segala keinginannya akan diperoleh di sana dan kekal dalam kenikmatan.
Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud:
“Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman dan beramal salih, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari jenis buah-buahan syurga, mereka berkata: “Inilah yang sudah diberikan kepada mereka dulu.” Dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya) dan disediakan untuk mereka dalam syurga, pasangan yang sentiasa bersih suci, sedang mereka kekal dalamnya selama-lamanya.”
(Surah al-Baqarah, ayat-25)
Wallahua’lam.
Sumber:
http://www.bharian.com.my/
No comments:
Post a Comment