Di dalam ayat yang Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Aku berlindung kepada-Mu, Wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku. (al-Mukminun: 98).
Kedua-dua ayat ini memberitahu kita bahawa musuh yang bernama iblis dan sesuai dengan sifat kesyaitanannya menjauhkan manusia daripada mentaati Allah SWT.
Tidak kiralah apa cara sekalipun asalkan anak Adam berjaya diganggu sehingga berhenti daripada mentaati Allah SWT dan mentaatinya dengan melakukan maksiat.
Manakan tidak bila seseorang itu berhenti mentaati Allah SWT bermaksud mentaati iblis. Nah, bila sudah jauh daripada Allah maka yang dekat dengannya ialah iblis.
Maka inilah yang menjadi matlamat iblis. Untuk itu, iblis sanggup berusaha siang dan malam, pagi dan petang tanpa mengenal erti putus asa dalam menggoda anak Adam.
Sebenarnya iblis ini tidak kuat, dia lemah dan hina, dia sungguh tidak berdaya untuk menyesatkan kita, ini kerana kita adalah lebih kuat dan lebih mulia daripada segi kejadian.
Bisikan serta gangguan dalaman adalah kerana jiwa kita kosong, gersang daripada mengingati Allah SWT. Kekuatan dalaman kita menjadi dinding dan perisai bagi menghindari iblis durjana ini.
Dalam hadis Rasulullah SAW baginda bersabda yang bermaksud: Syaitan akan menghantar tentera-tenteranya untuk memfitnah manusia, manusia yang lebih tinggi kedudukan akan mendapat fitnah (ujian) syaitan yang lebih hebat. Syaitan akan datang kepada seseorang kamu dan berkata: “Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini? Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini ? Sehingga syaitan akan berkata:” Siapakah yang telah menjadikan Tuhan kamu?” Apabila perkara ini berlaku kepada kamu maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam. (al-Bukhari dan Muslim).
Pengajaran daripada hadis ini;
1) Lintasan hati tidak akan memudaratkan iman yang ada pada seseorang.
2) Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan. Oleh itu sebarang bisikan yang menafikan segala kesempurnaan Allah wajib disanggah agar seseorang itu bebas daripada kesesatan yang meracuni akal fikirannya.
3) Kemungkaran dan kemaksiatan adalah jalan yang memandu manusia ke arah kesesatan. Ia merupakan perangkap syaitan dan Iblis yang mahukan manusia tergolong sebagai makhluk yang menderhaka seperti mereka.
Memandangkan gangguan iblis selalu dituju ke hati melalui urat saraf tempat mengalir darah dan akhirnya, darah itu sampai ke hati bersama bisikan iblis.
4) Syaitan akan mendatangi sesiapa sahaja. Hanya iman yang teguh dan mantap sahaja dapat menangkisnya.
Oleh itu sebagai pendindingnya kita hendaklah sentiasa membiasakan diri dengan berzikir dan beristighfar agar hati tidak mudah lalai dan terpesong kepada perkara yang mendatangkan dosa dan maksiat.
Apabila hati manusia telah mati atau menjadi keras, apabila hati manusia telah menjadi padam dan tidak bersinar lagi atau apabila ia telah tumpas dalam pertarungannya menghadapi syaitan maka terbukalah pintu-pintu masuk segala kejahatan terutama ke dalam dirinya, kerana syaitan itu meresap ke dalam diri anak Adam sebagaimana pengaliran darah di dalam tubuhnya.
Sebenarnya apabila benteng pertahanan dan kekuatan manusia telah runtuh maka syaitan akan kembali menjadi teman karibnya sebagaimana firman Allah dalam ayat 19 surah al-Mujadalah.
Inilah kandungan maksud yang dibayangkan oleh al-Quran yang menyatakan: Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang) mereka (keturunan Adam) daripada jalan Engkau yang lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat). (al-A’raf: 16-17).
Kesungguhan iblis dalam menyesatkan anak Adam memang sangat jelas melalui ayat ini. Kekerapan gangguan yang anda lalui juga ada kemiripan kepada penyakit was-was, penyakit yang sangat bahaya, serta makan masa untuk dipulihkan.
Dalam hal ini Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya syaitan itu menghasut anak Adam dengan berbagai cara. Lalu (pertamanya) ia menghasut melalui jalan agama Islam itu sendiri dengan berkata: Apakah kamu menganut Islam dan meninggalkan agamamu dan agama nenek moyangmu? Anak Adam enggan mengikutinya dan tetap berpegang dengan Islam. Kemudian dia menghasut pula di jalan hijrah, lalu dia berkata: Adakah anda ingin berhijrah meninggalkan tanah air dan kampung halaman? Lalu anak Adam mengingkarinya dan tetap berhijrah. Kemudian syaitan menghasut pula di jalan jihad dengan berkata: “Adakah engkau ingin sedangkan jihad itu membinasakan jiwa dan harta benda engkau, kemudian engkau berperang lalu engkau dibunuh, kemudian isteri engkau dikahwini orang dan harta kekayaan engkau dibahagi-bahagikan. Lalu anak Adam tetap mengingkari syaitan dan terus berjihad.
Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Maka sesiapa yang bersikap demikian kemudian ia mati maka adalah hak Allah SWT memasukkannya ke dalam syurga”. (riwayat al-Nasa’i)
Menjauhkan diri daripada maksiat dan kejahatan adalah bermaksud menjauhi syaitan. Banyakkan zikir, solat, wuduk, selawat, istighfar, membaca al-Quran. Kawal pancaindera daripada murka kepada pencipta-Nya.
Sumber:
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment