Friday, January 28, 2011

Syirik

(disediakan oleh Ustaz Salleh Talib)















1. Firman Allah dlm surah An-Nisa` 48; `sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik kepadanya dan akan mengampunkan dosa yang lain bagi sesiapa yang dikehendakinya, sesiapa yang syirik kepada allah, sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.'

 




















 2. Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya; ketahui olehmu, ada tiga dosa yang paling besar yang dilakukan oleh manusia dan dimurkai oleh Allah; pertama Syirik kepada Allah, kedua durhaka kepada kedua ibu bapa dan ketiga bersaksi palsu atau berkata dusta.






















3. Syirik bermaksud menduakan Allah dengan sesuatu samaada dalam amalan atau semasa melakukan ibadah kepada Allah. Syirik boleh berlaku dalam berbagai bentuk  atau tindakan seseorang.

4. Dosa syirik sangat besar dan tidak akan diampun oleh Allah.

 















5. Syirik akan  membatalkan segala amalan seseorang seperti sembahyangnya, puasa, zakat, haji, sedekah dll.

6. Orang yang syirik adalah sesat yang amat jauh. `sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang syirik kepadanya dan akan mengampunkan dosa selain dari itu bagi sesiapa yang ia kehendaki. Sesiapa yang syirik terhadap Allah, sesungguhnya ia telah sesat dalam kesesatan yang sangat jauh.' (an-nisa` 116)

 

7. Syirik juga merupakan satu kezaliman (surah Luqman 13)

 















8. Syirik terbahagi dua iaitu  jali atau nyata/terang dan syirik khafi iaitu tersembunyi.

8 (a) syirik jali seperti menyembah patung berhala, mematuhi taghut dll

8 (b) syirik khafi ialah riyak, menunjuk-nunjuk dan membuat amalan kerana manusia.

9 Syirik berlaku dalam 3 keadaan: hati, perbuatan dan perkataan.

Hati - aqidah, seperti meragui ajaran/perintah allah dengan menganggap ianya tidak sesuai dengan zaman

 

Perbuatan - melakukan penyembahan kepada selain Allah. Membesarkan manusia setaraf dengan allah

Perkataan - berkata sesuatu yang berlawanan dengan sifat allah.

10. Jauhilah syirik kerana syirik membawa ke neraka.

 

Kredit:
http://masjidtemerlohjaya.blogspot.com/

Saturday, January 22, 2011

Ambil Kesempatan Kemalangan & Dosa Berganda

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

pungut_dan_curi

Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah yang boleh dikatakan kepada pemilik wang syiling RM75,000 yang mengalami kemalangan di Kilometer 244 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), dekat susur keluar Pedas. Menurut laporan akhbar-akhbar tempatan, orang ramai dikatakan berpusu-pusu menghentikan kenderaan mereka, sebahagiannya bukan untuk menolong mengutip dan mengembalikan wang yang berteraburan itu tetapi sebaliknya mengambil dan melarikan semua wang syiling yang dikutip.

Tentunya penghargaan wajar diberikan kepada mereka yang datang membantu tetapi bagi mereka yang mengambil kesempatan melarikan wang terbabit, kejadian seperti ini amat mendukacitakan dan jelas memperlihatkan betapa rakusnya nafsu keinginan kepada wang.

Mereka sama sekali tidak mengendahkan persoalan hukum. Demikian amaran Nabi Muhammad :

Ertinya : Akan sampai satu zaman dimana manusia tidak lagi menghiraukan dari sumber mana diperolehi hartanya, sama ada dari yag halal atau yang haram ( Riwayat Al-Bukhari)
 
Lebih teruk dari itu, tiada lagi rasa ‘malu’ dan hiraukan kecederaan tuan punya wang yang berada di tempat yang sama. Mereka juga tidak menghiraukan keselamatan diri mereka sendiri sehingga dilaporkan ada yang mengutipnya di tengah-tengah lebuh raya, sehingga terpaksa akhirnya pihak berkuasa menutup laluan bagi memastikan tiada kemalangan nyawa akibat kerakusan itu.

HUKUM BARANG JUMPA

Bayangkan di dalam Islam, setiap harta yang dijumpai dan tidak diketahui pemilik pun tidak boleh kita nikmati sebelum melalui proses tertentu. Harta yang ditemui tanpa diketahui pemilik dinamakan ‘Luqatah’ di dalam ilmu Fiqh Islam.

Nabi menyatakan :

Ertinya : Barangsiapa yang menumpai sesuatu harta, maka wajiblah dia memaklumkannya ( bersaksi) dia menjumpainya kepada orang yang adil atau pihak berkuasa, tidak boleh sama sekali dia menyembunyikan dan menghilangkannya. Sekiranya dapat dijumpai pemiliknya wajiblah dia mengembalikan wang terbabit, jika gagal maka harta tadi adalah dikira milik Allah dan boleh disedeqahkan kepada sesiapa yang diingini.” ( Riwayat Abu Daud )

Imam Al-Khattabi menghuraikan , ia hanya boleh dimanfaatkan oleh yang menjumpainya setelah mencari pemilik tersebut dalam tempoh satu tahun. ( Aunul Ma’bud, hlm 101).

Itu perbincangan hukum menjumpai harta dan panjang lagi perbincangannya dalam mazhab-mazhab Fiqh Islam, cuma dapat kita lihat betapa Islam mengajar umatnya agar sentiasa peka dan berhati-hati dalam apa jua harta yang diterima. Malah yang dijumpai pun belum tentu boleh dimanfaatkan. Apatah lagi untuk mengganggap ia sebagai ‘rezeki terpijak’ atau ‘durian runtuh’.

Jika demikian displin Islam dalam bab harta yang dijumpai, tentulah Islam sangat melarang sesiapa juga mengambil kesempatan mencuri, merompak dan melarikan wang yang tercicir akibat kemalangan sedang diketahui tuannya sedang dalam kesakitan.

Sebenarnya keadaan ‘mengambil kesempatan’ di atas sesuatu musibah dan kemalangan ini bukan hanya merujuk kepada kes di atas, tetapi telah banyak kali dapat kita baca disiarkan oleh media massa. Ada yang mengambil kesempatan semasa kebakaran, gempa bumi dan sepertinya, mereka mencuri barangan tuan rumah yang terpaksa ditinggalkan.

Teringat pernah diwartakan suatu ketika dahulu, bagaimana mangsa yang cedera parah dan yang maut akibat kemalangan dicuri dompet dan barangan berharga mereka yang terdapat di dalam kenderaan. Semuanya dilakukan oleh sebahagian penyamun dari kalangan orang ramai yang berkerumun yang kononnya ingin membantu, keadaan itu menyukarkan tugas polis untuk mengenal mangsa.

Tidak kurang juga yang merompak semasa demonstrasi dan yang lebih teruk pernah dilaporkan, seorang pegawai sukarela menangkap pelaku khalwat, menerima rasuah dan ada yang merogol mangsa ketika dalam perjalanan menghantarnya ke rumah ibubapa mangsa. Begitu buruknya sifat dan sikap manusia seperti ini.

CERMINAN MASYARAKAT KITA?

Gambaran-gambaran di atas sebenarnya mampu memberikan sedikit idea berkenaan sikap sebahagian besar masyarakat kita hari ini. Sikap tidak amanah apabila berhadapan dengan peluang mendapat wang dan peluang mudah, dengan segera disambar tanpa menghiraukan kesan luka di dalam hati mangsa. Disebabkan oleh sifat sebegini rasuah masih gagal dihentikan, keterlibatan dalam skim cepat kaya, skim piramid dan pelbagai skim menipu masih terus berkembang dan mendapat mangsa. Semuanya disebabkan sifat kerakusan malas mengkaji dan tanpa ilmu yang menyubur, menyebabkan diri tersangkut di dalam jerat pendapatan kononnya cara mudah.

DOSA BERGANDA

Dosa bagi mereka yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain adalah lebih besar berbanding dosa biasa. Merampas dan meragut sememangnya merupakan suatu dosa. Namun apabila ia dilakukan di ketika pemilik harta dalam keadaan cedera kemalangan sama ada di jalanraya atau kemusnahan di dalam rumah. Dosa penjenayah terbabit BERGANDA, KEHINAAN mereka di sisi Allah juga menjadi berganda.

Hal itu hampir sama seperti mengenakan caj penalti di ketika peminjam tidak mampu melunaskan hutangnya, dan berada di dalam situasi yang benar-benar sukar. Dalam keadaan itu, pemberi pinjam sewajarnya memberikan waktu kelegaan bagi meringan beban peminjam dan bukan menjerut leher mereka dengan menambah hutang mereka dengan caj penalti yang membebankan. Ia adalah riba dan Ibn Qayyim menegaskan pengharamanya disebabkan kezaliman jelas yang terkandung dalam tindakan tersebut.

WAJIB PULANGKAN

Justeru, saya ingin menasihatkan mana-mana individu yang terlibat mengutip dan melarikan wang tercicir di dalam kemalangan di lebuhraya kelmarin, agar segera bertaubat dan memulangkan wang terbabit kepada pemiliknya walau ia bernilai beberapa ringgit.

Nabi bersabda :

Ertinya : Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakutkan Muslim yang lain, dan apabila seorang kamu mengambil hak milik saudaranya yang lain, wajiblah dia memulangkannya kembali (Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud)

Nabi juga mengingatkan :

Ertinya : Tidak halal harta yang dimiliki oleh seseorang Muslim ( untuk diambil oleh orang lain) kecuali diizinkan olehnya ( Riwayat Ahmad, 5/72)

Tanpa memulangkan kembali, ia bakal menjadi suatu beban di dalam kuburan kelak. Ia amat jelas wang yang haram digunakan oleh mereka dan perlu disedari dosa tindakan itu berganda-ganda kerana sebab yang dinyatakan di atas.

KESIMPULAN

Kes kemalangan di lebuhraya itu hanyalah sebagai contoh kepada semua jenis insiden kemalangan yang lain. Amat perlu masyarakat kita diingatkan agar tidak sama sekali mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.

Walaupun sekali pandang, kes ini kelihatan kecil dan remeh tetapi hakikatnya ia adalah besar kerana memberi cerminan sikap masyarakat kita yang amat gersang dari pengisian rohani dan etika, sehingga tergamak mengambil kesempatan di atas kesusahan orang. Ia juga membimbangkan kerana melambangkan sikap pentingkan diri sendiri sudah begitu hampir ke tahap kemuncak kejahatan kejahatan.

Pihak berwajib dan mana-mana pihak yang punyai kuasa sama ada di peringkat keluarga, masyarakat, negeri dan negara tidak boleh memandang ringan insiden ini kerana ia jelas memerlukan satu plan terbaik untuk merawat pembangunan kerohanian, integriti dan etika masyarakat.

Semoga kita semua mampu berperanan dalam ruang lingkup kuasa kita selain berteriak meminta pihak itu dan ini untuk bertindak. Jalan yang terbaik untuk memulihkan masalah ini adalah mulakan dengan diri dan keluarga sendiri.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
20 Januari 2011

Friday, January 21, 2011

Musibah sekadar ujian ketakwaan manusia

Oleh Zamanuddin Jusoh
Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)


DUNIA ini medan bagi segala kebaikan dan keburukan yang melihat pertembungan antara kumpulan mentaati Allah dengan mereka yang cenderung kepada syaitan dan mengikut hawa nafsu. Sejarah nafsu mempengaruhi manusia memperlihatkan bagaimana anak Nabi Adam, Qabil membunuh saudaranya, Habil.

Demikianlah Allah membuat sesuatu ketetapan dalam kehidupan manusia berdasarkan ilmu dan hikmah daripadanya ialah mereka yang dapat membezakan adalah hamba terbaik. Oleh itu, semua akan diberi ganjaran mengikut perbuatannya sama ada layak untuk nikmat syurga atau azab neraka.

Sesungguhnya manusia bertanggungjawab terhadap nasib mereka berbekalkan ilmu yang ada padanya untuk membezakan antara baik dengan buruk kerana firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah sekali-kali tidak menzalimi hambanya.” (Surah Al-Kahfi, ayat 49)

Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat akhir zaman yang sentiasa ke hadapan dalam mencorakkan kehidupan berpaksikan ketaatan kepada Allah. Hubungan sebenar antara mereka dan Pencipta adalah ketaatan yang tidak berbelah bahagi disamping ganjaran baik dijanjikan Allah.


Firman Allah yang bermaksud: “Mereka hanyalah menunggu berlakunya ketentuan kepada orang terdahulu (azab). Maka kamu tidak akan mendapati apa-apa perubahan selain daripada ketentuan Allah.” (Surah Fatir, ayat 43)


Imam Masjid Nabawi Madinah Al-Munawwarah, Syekh Abd Rahman Al-Huzaify, dalam khutbahnya berkata dunia sudah hampir sampai ke penghujungnya dengan tanda jelas berlakunya ujian, fitnah dan kerosakan yang berleluasa.

Oleh itu katanya, bersegeralah melakukan kebaikan disamping berhati-hati dengan dosa dan kemaksiatan selain beringat bahawa hari yang kita lalui semakin sukar kerana hampirnya dengan kiamat.

“Umat ini berada dalam keadaan fitnah kerosakan seperti malam yang gelap gelita. Hanya orang yang berpegang dengan Allah, rasul dan bersama kumpulan orang beriman saja yang akan selamat darinya,” katanya.


Beliau memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiada seorangpun Nabi diutuskan melainkan mereka menyeru umatnya ke arah kebaikan dan menentang kemungkaran. Sesungguhnya umat ini menerima kebaikan yang banyak pada awalnya dan diuji dengan fitnah dan kerosakan pada penghujungnya. Maka pada ketika itu berkatalah orang beriman: Inilah detik kemusnahan. Sesiapa yang ingin selamat, maka ikutilah jalan yang menuju kepada Allah dan hari kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)


Syekh Abd Rahman berkata, maksud fitnah ialah perkara yang berlaku dan memudaratkan agama atau kenikmatan dunia yang dikecapi manusia bagi melihat sejauh manakah tahap kesyukuran seseorang terhadap nikmat itu.


Katanya, bencana menimpa semua masyarakat tanpa mengira kedudukan adalah fitnah umum sementara fitnah khusus ialah bencana menimpa seseorang individu sama ada terhadap dirinya, agama, harta benda atau keluarganya.


“Dalam kehidupan ini, kita akan menghadapi pelbagai ujian yang akan menguji kesabaran dan emosi sehingga kita merasakan kitalah orang paling malang di dunia. Ingatlah Allah SWT menyediakan pelbagai bentuk bonus ganjaran kepada mereka yang diuji,” katanya.


Beliau berkata, mereka menghadapi ujian getir dan tabah serta bersabar di samping terus berusaha, iman mereka akan bertambah dan mendapat ganjaran orang bersabar manakala mereka bersyukur dengan nikmat dikurniakan mendapat ganjaran orang yang bersyukur.


Sabda Rasul SAW yang bermaksud: “Alangkah hebatnya seorang Muslim di mana apabila ditimpa musibah mereka sabar dan apabila dikurniakan nikmat mereka bersyukur. Itulah yang terbaik bagi mereka.” (Hadis riwayat Muslim)


Ketahuilah segala kelemahan dalam menghadapi ujian Allah akan dapat ditampung jika kita penuhi kehidupan dengan amalan solat dan terus melakukan kebajikan setiap masa.


Seorang sahabat, Huzaifah Ibnul Yaman menceritakan ketika mereka duduk bersama Abdullah Bin Umar lalu Abdullah bertanya: “Adakah dalam kalangan kamu yang menghafal sesuatu hadis daripada Baginda SAW mengenai fitnah? Saya berkata: Rasul SAW pernah bersabda yang bermaksud: Ujian kepada seorang lelaki terhadap keluarganya, hartanya dan jiran tetangga akan ditampung oleh solat, puasa, sedekah, mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Antara amalan penting dalam masyarakat ialah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran kerana ia akan menyelamatkan umat dari bencana umum yang diturunkan kepada semua.


Firman Allah yang bermaksud: “Takutlah kamu akan seksaan yang akan diturunkan kepada semua dengan kezaliman yang dilakukan oleh orang lain.” (Surah Anfal, ayat 25)


Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Demi diriku dalam genggaman-Nya, kamu hendaklah menyeru manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran atau kamu akan diazab kerananya dan doa kamu tidak akan dimakbulkan.” (Hadis riwayat Tirmizi)


Firman Allah lagi yang bermaksud: “Selepas mereka melupakan peringatan Allah, kami selamatkan orang yang menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kami juga akan timpakan kepada orang zalim itu dengan seksaan yang keras disebabkan kefasikan mereka.” (Surah Al-A’raf, ayat 165)


Sumber:
http://www.bharian.com.my/

Friday, January 14, 2011

Amalan Menjauhi Gangguan Syaitan

Di dalam penghujung surah Allah SWT memberi ingat bahawa syaitan akan sering meniupkan bisikan-bisikannya, firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian oleh sekalian manusia, Dari kejahatan pembisik penghasut Yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke Dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia. (al-Nas:2-7).

Di dalam ayat yang Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Aku berlindung kepada-Mu, Wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku. (al-Mukminun: 98).

Kedua-dua ayat ini memberitahu kita bahawa musuh yang bernama iblis dan sesuai dengan sifat kesyaitanannya menjauhkan manusia daripada mentaati Allah SWT.

Tidak kiralah apa cara sekalipun asalkan anak Adam berjaya diganggu sehingga berhenti daripada mentaati Allah SWT dan mentaatinya dengan melakukan maksiat.

Manakan tidak bila seseorang itu berhenti mentaati Allah SWT bermaksud mentaati iblis. Nah, bila sudah jauh daripada Allah maka yang dekat dengannya ialah iblis.

Maka inilah yang menjadi matlamat iblis. Untuk itu, iblis sanggup berusaha siang dan malam, pagi dan petang tanpa mengenal erti putus asa dalam menggoda anak Adam.

Sebenarnya iblis ini tidak kuat, dia lemah dan hina, dia sungguh tidak berdaya untuk menyesatkan kita, ini kerana kita adalah lebih kuat dan lebih mulia daripada segi kejadian.

Bisikan serta gangguan dalaman adalah kerana jiwa kita kosong, gersang daripada mengingati Allah SWT. Kekuatan dalaman kita menjadi dinding dan perisai bagi menghindari iblis durjana ini.

Dalam hadis Rasulullah SAW baginda bersabda yang bermaksud: Syaitan akan menghantar tentera-tenteranya untuk memfitnah manusia, manusia yang lebih tinggi kedudukan akan mendapat fitnah (ujian) syaitan yang lebih hebat. Syaitan akan datang kepada seseorang kamu dan berkata: “Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini? Siapakah yang telah menjadikan kejadian ini ? Sehingga syaitan akan berkata:” Siapakah yang telah menjadikan Tuhan kamu?” Apabila perkara ini berlaku kepada kamu maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada syaitan yang direjam. (al-Bukhari dan Muslim).

Pengajaran daripada hadis ini;
1) Lintasan hati tidak akan memudaratkan iman yang ada pada seseorang.
2) Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan. Oleh itu sebarang bisikan yang menafikan segala kesempurnaan Allah wajib disanggah agar seseorang itu bebas daripada kesesatan yang meracuni akal fikirannya.
3) Kemungkaran dan kemaksiatan adalah jalan yang memandu manusia ke arah kesesatan. Ia merupakan perangkap syaitan dan Iblis yang mahukan manusia tergolong sebagai makhluk yang menderhaka seperti mereka.
Memandangkan gangguan iblis selalu dituju ke hati melalui urat saraf tempat mengalir darah dan akhirnya, darah itu sampai ke hati bersama bisikan iblis.
4) Syaitan akan mendatangi sesiapa sahaja. Hanya iman yang teguh dan mantap sahaja dapat menangkisnya.
Oleh itu sebagai pendindingnya kita hendaklah sentiasa membiasakan diri dengan berzikir dan beristighfar agar hati tidak mudah lalai dan terpesong kepada perkara yang mendatangkan dosa dan maksiat.

Apabila hati manusia telah mati atau menjadi keras, apabila hati manusia telah menjadi padam dan tidak bersinar lagi atau apabila ia telah tumpas dalam pertarungannya menghadapi syaitan maka terbukalah pintu-pintu masuk segala kejahatan terutama ke dalam dirinya, kerana syaitan itu meresap ke dalam diri anak Adam sebagaimana pengaliran darah di dalam tubuhnya.

Sebenarnya apabila benteng pertahanan dan kekuatan manusia telah runtuh maka syaitan akan kembali menjadi teman karibnya sebagaimana firman Allah dalam ayat 19 surah al-Mujadalah.

Inilah kandungan maksud yang dibayangkan oleh al-Quran yang menyatakan: Iblis menjawab: “Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang) mereka (keturunan Adam) daripada jalan Engkau yang lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat). (al-A’raf: 16-17).

Kesungguhan iblis dalam menyesatkan anak Adam memang sangat jelas melalui ayat ini. Kekerapan gangguan yang anda lalui juga ada kemiripan kepada penyakit was-was, penyakit yang sangat bahaya, serta makan masa untuk dipulihkan.

Dalam hal ini Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya syaitan itu menghasut anak Adam dengan berbagai cara. Lalu (pertamanya) ia menghasut melalui jalan agama Islam itu sendiri dengan berkata: Apakah kamu menganut Islam dan meninggalkan agamamu dan agama nenek moyangmu? Anak Adam enggan mengikutinya dan tetap berpegang dengan Islam. Kemudian dia menghasut pula di jalan hijrah, lalu dia berkata: Adakah anda ingin berhijrah meninggalkan tanah air dan kampung halaman? Lalu anak Adam mengingkarinya dan tetap berhijrah. Kemudian syaitan menghasut pula di jalan jihad dengan berkata: “Adakah engkau ingin sedangkan jihad itu membinasakan jiwa dan harta benda engkau, kemudian engkau berperang lalu engkau dibunuh, kemudian isteri engkau dikahwini orang dan harta kekayaan engkau dibahagi-bahagikan. Lalu anak Adam tetap mengingkari syaitan dan terus berjihad.

Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Maka sesiapa yang bersikap demikian kemudian ia mati maka adalah hak Allah SWT memasukkannya ke dalam syurga”. (riwayat al-Nasa’i)

Menjauhkan diri daripada maksiat dan kejahatan adalah bermaksud menjauhi syaitan. Banyakkan zikir, solat, wuduk, selawat, istighfar, membaca al-Quran. Kawal pancaindera daripada murka kepada pencipta-Nya.

Sumber:
www.utusan.com.my

Tuesday, January 11, 2011

Solat tepati syarak kunci utama peribadi cemerlang

Oleh Zamanuddin Jusoh
Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)

MEMETIK Khutbah Syekh Ali Abdul Rahman Al-Huzaify bertajuk ‘Kebahagiaan Dalam Muhasabah Diri’ menunaikan perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya berpaksikan prinsip keredaan daripada Allah dan Rasul-Nya.

Ketahuilah kejayaan seorang Muslim dan kebahagiaan di dunia serta akhirat bergantung sejauh mana ketaatan dan muhasabah diri terhadap perkara yang diredai Allah.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dan perhatikanlah apa yang akan dilakukan untuk hari esok serta bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat mengetahui dengan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Hashr: Ayat 18).
Kita semua melihat, mengetahui, merasai dengan kesusahan dan kehinaan yang menimpa umat Islam hari ini berpunca daripada kesalahan kita sendiri yang banyak melakukan pelanggaran hukum serta mengabaikan kewajipan sebagai seorang Muslim.

Firman Allah bermaksud: “Dan apa-apa musibah yang menimpa kamu adalah perbuatan tangan mu sendiri dan Allah memaafkan banyak dari kesalahan kamu.” (Surah Syura: Ayat 30).

Sesungguhnya keadilan Allah terlaksana dengan hikmah dan kebijaksanaan-Nya terhadap semua makhluk tanpa seorang pun yang terlepas darinya. Inilah sunnah Allah yang akan berlaku tanpa syak dan ragu lagi.

Firman Allah bermaksud: “Maka kamu tidak akan mendapat perubahan dari Allah dan tiada penyimpang bagi segala ketentuan Nya.” (Surah Fatir: Ayat 43).
Ulama tafsir menyebut, Allah tidak akan menganiaya kamu di dunia dan akhirat jika kamu bersyukur serta tahu menilai dengan ukuran perbuatan baik tetapi Allah akan menimpakan azab-Nya kepada yang ingkar dan berpaling tadah. Kunci utama pembentukan peribadi masyarakat cemerlang ialah menjaga solat serta mengukuhkan pegangan dengan Allah dan menyeru manusia ke jalan yang benar.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya berjaya mereka yang mendirikan solat dengan penuh khusyuk.” (Surah Al-Mukminun: Ayat 1-2).

Disiplin dan keikhlasan dalam solat disifatkan oleh Rasulullah dalam sabdanya bermaksud: “Sesiapa yang bersolat tepat pada waktunya dengan penuh khusyuk serta menyempurnakan wuduk, rukuk serta sujudnya, akan didatangi solatnya pada hari kiamat seraya berkata: Semoga Allah memelihara kamu seperti kamu memelihara aku dulu dan sesiapa yang bersolat di luar waktunya serta tidak menyempurnakan wuduk, rukuk serta sujudnya dan tidak khusyuk, akan dikatakan padanya: Kamu akan diabaikan pada hari ini seperti kamu mengabaikan aku dulu.” (Hadis riwayat Tabrani).

Sahabat Nabi serta tabi’in sentiasa bermuhasabah solat yang dilakukan sehingga darjat dan kedudukan mereka sentiasa diangkat oleh Allah.

Sahabat Nabi, Zuhri bertemu Anas Bin Malik di Syria dalam keadaan Anas menangis lalu Zuhri berkata: “Kenapa kamu menangis wahai Anas? Lalu Anas menjawab: “Aku tidak dapat pastikan solat manakah yang diterima oleh Allah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Bersempena semangat dan keazaman baru ini, marilah bersama kita renungkan ibadat solat kita lakukan, apakah ia menepati kehendak syarak (dengan ilmu) atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

Sejauh mana ilmu yang dipelajari mengenai solat kerana gejala dan perpecahan sedang melanda umat Islam kini adalah hasil daripada pengabaian mereka terhadap kewajipan solat.

Firman Allah bermaksud: “Mohonlah bantuan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang yang khusyuk.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 45).

Sebenarnya, segala kebaikan dan keberkatan adalah buat umat Nabi Muhammad sehingga hari kiamat. Namun, ia memerlukan muhasabah tinggi terhadap ibadat solat mereka lakukan.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/

Monday, January 10, 2011

Ustaz Bukan Penghalau Hantu

KUALA LUMPUR: Dalam filem atau drama televisyen tempatan yang bergenre seram, watak ustaz sering dipaparkan sebagai tukang halau hantu dan jin.

Walaupun perkara ini bagi sesetengah orang adalah remeh, di kalangan pendakwah, watak ustaz yang seperti itu disalah guna dan fungsi sedemikian perlu diperbetulkan.


“Pengarah dan penulis skrip kalau mahu mewujudkan watak ustaz perlu terlebih dulu peka terhadap peranan besar yang dimainkan oleh pendakwah atau ustaz dan bukan menyempitkan peranan itu hanya setakat penghalau hantu atau makhluk halus semata-mata. “Sedangkan peranan sebenar ustaz adalah sebagai pembimbing masyarakat ke jalan benar. Watak seorang ustaz sepatutnya diperlihatkan sebagai pendakwah yang bertanggungjawab mengajak umat Islam melakukan kebaikan di muka bumi ini,” kata Pensyarah Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia, Ustaz Mohd Azahari Yusuf kepada BERNAMA.

Beliau juga menegur elemen jampi serapah yang disebut watak bomoh atau dukun dalam sesebuah filem atau drama, yang bercampur baur antara nama Allah dengan ungkapan bidaah dalam babak bagi tujuan mencuit hati penonton, yang sepatutnya tidak perlu diton-jolkan sebegitu.

Bagi pendakwah bebas, Daud Che Ngah, watak ustaz yang disempitkan kepada sekadar penghalau hantu dan penggunaan ayat suci al-Quran sekadar mantera membunuh hantu sebenarnya adalah satu bentuk penghinaan kepada agama Islam.

“Pada pandangan peribadi saya, pengusaha filem seram membohongi masyarakat bahawa hantu yang dikaitkan sebagai jin yang mempunyai kuasa tetapi sebaliknya dijelaskan dalam kitab suci al-Quran bahawa jin bukanlah makhluk yang perlu ditakuti oleh manusia.

“Unsur seram dan ganas dalam filem menyebabkan orang ramai, khususnya kanak-kanak lebih takut kepada watak hantu daripada Allah dan perkara itu tidak sewajarnya berlaku kerana ia melemahkan minda umat Islam,” katanya

Sumber:
http://www.bharian.com.my/
(Tarikh: 10 Jan 2010)

Sunday, January 9, 2011

Husnul khatimah janji bagi Muslim sejati

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya.”
Untuk mengetahui sama ada seseorang itu mati dalam keadaan husnul khatimah atau kesudahan usia yang baik atau sebaliknya bukanlah sesuatu yang mudah atau senang untuk diteka sebegitu saja.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): “Demi Tuhan yang tiada Tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya seseorang antara kamu ada yang beramal dengan amalan ahli neraka sehingga tidak ada jarak antara dia dan neraka melainkan sehasta, maka Ketentuan Ilahi sudah mendahuluinya, lalu pada akhir usia ia sudah melakukan amalan ahli syurga, maka ia masuk ke dalamnya.

Dan sesungguhnya seseorang antara kamu ada yang beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada jarak antara dia dan syurga melainkan sehasta, maka ketentuan Ilahi telah mendahuluinya, lalu ia beramal dengan amalan ahli neraka, maka ia masuk ke dalamnya.”

Ketika kalangan sahabat Nabi mendengar penjelasan itu, mereka lalu bertanya: “Kalau demikian, tidakkah elok jika kita berserah saja pada ketetapan itu? Nabi SAW memberi bimbingan: “Beramallah kerana semua dimudahkan (untuk beramal) sesuai dengan tujuan penciptaannya.”
Kitab suci al-Quran berpesan pada ayat 102 surah Ali Imran (yang bermaksud): “Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Muslim.”

Sekiranya anda membaca ayat ini, janganlah berfikir: “Bukankah kematian adalah kehendak Tuhan, bukan kehendak manusia? Jika demikian apa makna larangan ini?”

Jawapannya adalah: “Biasanya seseorang meninggal dunia sesuai dengan kebiasaan yang dilakukannya (atau sesuatu yang terbiasa dilakukannya).”

Jika demikian, ayat itu jelas berpesan iaitu: “Biasakan hidup sesuai dengan tuntutan Islam kerana apabila anda melakukan hal berkenaan, anda akan meninggal sesuai dengan kebiasaan baik itu dan itulah husnul khatimah.”

Sehubungan itu, janganlah membiasakan diri anda dengan melakukan larangan Allah SWT atau melanggar syariat seperti meminum arak kerana boleh jadi maut akan meragutnya dalam keadaan demikian juga atau pada ketika dirinya berdepan sakaratulmaut, dia berasakan bagai sedang minum arak dan mabuk. Pada ketika itulah dia mengalami Su’ul Khatimah (penyudahan usia yang tidak baik).

Apabila melihat semua keadaan itu, maka kita bolehlah menyatakan bahawa salah satu tanda Husnul Khatimah (penyudahan usia yang baik) iaitu ‘ketekunan melaksanakan tuntutan agama.’

Bagi seseorang yang menghadapi sakaratulmaut, dianjurkan kepada kaum keluarga atau sesiapa saja untuk membacakan surah Yassin serta membimbingnya mengucap kalimah syahadah sebagai mana yang disuruh oleh Nabi Muhammad SAW.

Sumber Artikel:
http://www.bharian.com.my/

Saturday, January 8, 2011

AMALAN SUNAT DALAM BULAN MUHARRAM

BULAN MUHARRAM

Tanggal 1-9hb disunatkan berpuasa (puasa Tasua')
Tanggal 10hb disunatkan berpuasa (puasa Asyura)
Dalam bulan ini disunatkan agar memperbanyakkan amalan bersedekah kepada fakir miskin
Disunatkan supaya melebihkan perbelanjaan dalam keluarga
Mengusap kepada anak yatim dan menaruh perasaan belas kasihan terhadap mereka
Memperbanyakkan bacaan zikir dan selawat
Sesiapa yang berbuat baik kepada anak yatim seolah-olah ia telah berbuat baik kepada semua anak-anak yatim.
Sesiapa yang bersedekah pada hari itu maka seolah-olah ia tidak pernah menolak permintaan orang yang meminta-minta selama hidupnya



Sumber: http://www.e-zakat.com.my



Monday, January 3, 2011

AKTIVITI SURAU AL-MUKHLISIN 2011

JAWATAN KUASA SURAU MENGALU-ALUKAN KEDATANGAN MUSLIMIN DAN MUSLIMAT KE SURAU KAMI.

AHAD MALAM ISNIN
Kelas Mengaji Iqra' Dewasa-Lepas Isyak
Oleh Pengerusi Surau

ISNIN MALAM SELASA
Kuliah Maghrib: Kitab 'Dosa-Dosa Besar'
Oleh Ustaz Romizul

ISNIN MALAM SELASA
Kelas Mengaji Al-Quran Dewasa-Lepas Isyak
Oleh Pengerusi Surau

SELASA MALAM RABU
Kuliah Maghrib: Kitab 'Mustika Hadith 2'
Oleh Us. Hj. Abdullah Ibrahim Al-Haj

PETANG RABU
Tazkirah Muslimat
Oleh: Ustazah Mursyidah

RABU MALAM KHAMIS
Kuliah Maghrib: Kitab 'Aqidah Muslim'
Oleh Ustaz Badrul Hisyam

RABU MALAM KHAMIS
Kelas Mengaji Iqra' Dewasa-Lepas Isyak
Oleh Pengerusi Surau

KHAMIS MALAM JUMAAT
Kelas Mengaji Al-Quran-Lepas Isyak
Oleh Pengerusi Surau

KHAMIS MALAM JUMAAT
Bacaan Yassin dan Tahlil

JUMAAT MALAM SABTU
Kuliah Maghrib: Kitab 'Bidayatul Hidayah'
Oleh Us. Hanafiah Mohd. Ali