
BARU-BARU ini akhbar melaporkan berlaku kes seorang anak sanggup membuat pengakuan dia anak luar nikah semata-mata ingin berkahwin sedangkan bapa kandungnya masih hidup. Perbuatan ini jelas salah, tidak beretika serta berlawanan hukum syarak.
Perbuatan itu dilakukan tanpa memikirkan akibat buruk kepada institusi kekeluargaan. Lebih mendukacitakan, dilaporkan ada waris terdekat yang sama-sama memberikan keterangan palsu untuk memudahkan proses perkahwinan pihak terbabit.
Perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku hanya kerana marahkan bapa sehingga sanggup mengetepikan bapa sebagai wali pernikahannya serta memilih jalan keluar dengan mengisytiharkan diri sebagai anak luar nikah.
