MEMINTA sedekah atau meminta wang dengan orang lain demi kelangsungan hidup.(Gambar hiasan).
Islam galak umat Islam hidup sederhana, bersedekah
ALLAH menyuruh kita cermat dan berhati-hati dalam urusan duniawi, berpesan supaya memanfaatkan sekadar perlu dan meninggalkan keinginan yang terlampau. Paling utama adalah bersederhana dalam berbelanja iaitu tidak boros dan tidak pula kedekut.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.” (Surah Al-Furqan, ayat 67)
Jika diberi rezeki melebihi keperluan dan tanggungan, sedangkan pada masa sama ada orang lain terlalu berhajat dengan keperluan hidup yang tidak mampu mereka peroleh, jangan kita menyorok tangan, membutakan mata serta tidak mengambil endah tanggungjawab sesama manusia.
Ada kala kita hanyalah perantara yang dilantik Allah untuk membantu sesama makhluk kerana sifat amanah yang ada, bukan berhabisan untuk kepuasan sendiri. Tetapi tentu kita rasa terkilan untuk membantu orang yang tidak tahu berjimat cermat dalam urusan hidupnya.

